Pampasan kepada penternak babi terjejas ASF dibincang dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Pampasan kepada penternak babi terjejas ASF dibincang dalam masa terdekat

CHAN Foong Hin (baju biru) dan Chow Kon Yeow ketika melawat Pusat Operasi ASF dekat Balai Raya Perkampungan Valdor, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

NIBONG TEBAL: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dijangka berbincang dengan Kementerian Kewangan berhubung isu pampasan yang akan diberikan kepada penternak babi di negeri ini susulan penularan wabak penyakit demam babi Afrika (ASF) dalam masa terdekat.

Timbalan Menterinya, Chan Foong Hin berkata, hasil perbincangan itu kemudian akan dikeluarkan dalam bentuk kenyataan rasmi untuk diuar-uarkan.

Menurut beliau, selain isu pampasan kepada penternak babi, beberapa isu lain yang berkaitan akan diputuskan dalam mesyuarat yang berikutnya.

“Ada (persoalan) yang sudah kita jawab, ada yang belum. Ini termasuk permintaan untuk memasuki fasa endemik untuk ASF di Pulau Pinang.

“Itu (permintaan untuk memasuki fasa endemik) saya tidak perlu jawab kerana ia melibatkan pertukaran dan perubahan dasar. Lagipun, ia bukan isu yang berlaku di Pulau Pinang sahaja, tetapi isu Malaysia. Bagaimana cara kita untuk kita menangani isu perebakan ASF ini dan sebagainya.

“Jadi, saya akan merujuk hal ini dalam mesyuarat-mesyuarat yang seterusnya dan kita harap akan ada juga ‘kata putus’ (mengenai perkara itu) dalam masa yang terdekat ini,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan sesi dialog bersama penduduk Kampung Selamat di Tasek Gelugor, dekat sini berhubung isu yang sama selain melawat Pusat Operasi ASF dekat Balai Raya Perkampungan Valdor di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow serta Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, kerajaan negeri bersedia menimbang keperluan untuk menukar guna tanah yang digunakan untuk penternakan babi kepada tanah industri bergantung kepada kesesuaian.

Ini kerana katanya, terdapat permintaan daripada kalangan penternak haiwan itu yang enggan meneruskan penternakan tersebut atas pelbagai sebab termasuk menanggung kerugian yang tinggi akibat penularan ASF.

“Isu ini (pertukaran tanah) akan menyusul selepas wabak ini (selesai) diuruskan oleh pihak tertentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.