Pakar perumahan Singapura, minyak masak paket dan pengurusan bencana alam antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini - Utusan Malaysia

Pakar perumahan Singapura, minyak masak paket dan pengurusan bencana alam antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesatuan Eropah (EU) yang memperkenal Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan EU dijangka memberi kesan terhadap komoditi utama negara antara yang menjadi tumpuan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Andi Muhammad Suryandy Bandy (BN-Kalabakan) dijangka bertanya kepada Menteri Perladangan dan Komoditi mengenai usaha-usaha yang telah dilaksana kementerian bagi menangani isu tersebut.

Beliau akan bertanya soalan itu menerusi sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri pagi ini.

Selain itu, Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) akan meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan untuk menyatakan rasional membawa masuk pakar perumahan Singapura ke negara ini, sedangkan Malaysia sudah mempunyai pakar-pakar perancangan bandar tempatan yang boleh dimanfaat untuk tujuan itu.

Lim Guang Eng (PH-Bagan) pula dalam sesi pertanyaan itu akan meminta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab ke atas laman sesawang kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ini kerana, laman sesawang itu telah digodam melibatkan 600,000 baris data peribadi yang kemudian dilapor telah dimuat naik ke internet serta impak dan kos kebocoran data tersebut

Bagi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan, Cha Kee Chin (PH-Rasah) dijangka meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk menyatakan jika kerajaan bersedia menambah kuota bekalan minyak masak paket bersubsidi di pasaran runcit tempatan supaya bekalannya mencukupi.

Sementara itu, Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) pula meminta Perdana Menteri menyatakan tahap kesediaan agensi pengurusan bencana untuk mendepani bencana alam seperti kes tanah runtuh dekat Jalan Batang Kali.

Seterusnya, P. Prabakaran (PH-Batu) meminta Menteri Komunikasi dan Digital menjelaskan jika kerajaan berhasrat mengkaji semula kebenaran penggunaan aplikasi Telegram, WeChat, Michat dan beberapa aplikasi lain yang dilihat banyak pengaruh negatif untuk generasi muda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN