KUALA LUMPUR: Kelantangan sayap Wanita melontarkan idea begitu menyerlah ketika ia diterajui Tan Sri Rafidah Aziz, Tan Sri Zaharah Sulaiman dan Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Ia bukan rahsia kerana kelantangan itu menjadikan sayap Wanita pada satu ketika dahulu gah dan digeruni sehingga turut menjadi penggerak kepada UMNO mendekati masyarakat khususnya di luar bandar.
Kepimpinan tokoh-tokoh berkenaan membawa identiti tersendiri, seperti Rafidah dengan ketegasan beliau, Shahrizat dengan `kasih sayang’ manakala Zaharah sangat `menyenangkan’ ahli UMNO Wanita dan rakyat.
Namun keadaan itu dilihat tidak berlaku selepas kepimpinan mereka berakhir.

Rungutan mulai timbul daripada beberapa Ketua Wanita di peringkat bahagian dan cawangan, yang mendakwa mereka seperti diabai.
Sehinggakan ada yang bercerita, terdapat pemimpin sayap Wanita dahulu bangga dengan rombongan ‘Cik Kiah’ yang dibawa ke hulu hilir baik di Semenanjung atau ke Sabah dan Sarawak.
Rombongan `Cik Kiah’ rupanya menjadi kekuatan tersendiri bagi sayap Wanita zaman itu selain ia tidak bergantung sumber kewangan daripada Ketua Bahagian dan sebagainya.
Dengan menjadikan tudung merah sebagai azimat, ia menjadi satu kebanggaan buat Wanita, namun aura itu dilihat semakin meleset apabila ia tidak diteruskan.
Malah kelibat Ketua Wanita hari ini, Datuk Seri Noraini Ahmad juga tidak kelihatan di peringkat bahagian dan cawangan namun hanya memunculkan diri sewaktu berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Beberapa ketua Wanita Bahagian turut mendakwa tiada sebarang peruntukan diberi kepada mereka, sekali gus terpaksa menagih simpati daripada Ketua Bahagian untuk mendapatkan sumber kewangan supaya program di kawasan masing-masing boleh terus dihidupkan.
Keadaan itu melumpuhkan jentera Jalinan Rakyat (JR) yang dipimpin Wanita untuk terus bergerak membantu UMNO menarik undi di sesebuah kawasan.
Pada PRU15 pula, Noraini juga merupakan satu-satunya calon daripada sayap Wanita yang menang di kerusi Parlimen Parit Sulong, namun tidak berada dalam senarai Kabinet kerajaan perpaduan meskipun presiden parti mempunyai kuasa untuk meletakkan beliau di portofolio bersesuaian.
Mungkin ada yang menyokong Noraini namun rata-rata inginkan perubahan dalam kepemimpinan sayap Wanita kali ini.
Pencabarnya Shahrizat, mungkin ramai melihat mengapa beliau ingin bertanding semula, namun hakikatnya beliau mempunyai kekuatan daripada Wanita di peringkat bahagian dan cawangan.
Kepimpinan Shahrizat mengemudi sayap Wanita benar-benar menyerlah apabila beliau diangkat sebagai Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga.
Pergerakan itu benar-benar dibantu dengan memberi peruntukan khusus bagi menjalankan pelbagai program dan bantuan untuk wanita, sekali gus menjadi sejarah di bawah pimpinannya yang kerajaan bersetuju meminda Perkara 8 (2) Perlembagaan Malaysia bagi memastikan tidak ada diskriminasi antara jantina di negara ini.
Pindaan itu adalah bagi memastikan hak seseorang wanita dalam perundangan tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Malaysia adalah sama rata dengan seseorang lelaki, malah menyifatkan keputusan kerajaan itu sebagai satu kejayaan besar kepada seluruh kaum wanita Malaysia.
Bagaimanapun, cabarannya kali ini sudah pasti berbeza dengan kepimpinannya dulu kerana melibatkan ramai golongan muda khususnya dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN).
Persoalannya, bagaimana sayap Wanita kali ini memainkan peranannya dalam menambat hati golongan berkenaan? Adakah kepimpinan lama diterima kembali dengan beberapa transformasi atau inginkan perubahan yang berwajah baharu? – UTUSAN










