NGO mohon campur tangan Sultan Nazrin isu projek ladang Kledang Saiong - Utusan Malaysia

NGO mohon campur tangan Sultan Nazrin isu projek ladang Kledang Saiong

WAKIL NGO ketika menyerahkan memorandum berkaitan projek ladang hutan Kledang Saiong kepada wakil pejabat Sultan Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Satu memorandum diserahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi memohon campur tangan baginda berkaitan projek ladang hutan seluas 4,280 hektar di Hutan Simpan Kekal (HSK) Kledang Saiong.

Memorandum itu diserahkan oleh enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terdiri Pertubuhan Komuniti Sejahtera Aman Perak, Sahabat Alam Sekitar (SAM), Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam.

Turut menyokong memorandum itu, Pemerhati Lembah Kinta dan Jawatankuasa Bertindak Kampung Rambai Tujuh selain Parti Hijau Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pegawai lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, penyerahan memorandum itu dibuat ekoran kebimbangan pihaknya terhadap cadangan pelaksanaan pembangunan ladang hutan di HSK yang diluluskan oleh kerajaan negeri.

Katanya, pembangunan ladang monokultur berskala besar itu dilihat akan memusnahkan litupan hutan asal melalui amalan pengusahasilan secara tebang habis.

“Berdasarkan pemerhatian dan kajian lapangan kami, kebanyakan projek seperti ini akan memberi impak kepada persekitaran termasuk dari segi sosio ekonomi penduduk setempat.

“Bagi projek ini sendiri, meskipun telah diluluskan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) tetapi dari segi pemantauan dan penguatkuasaannya amat lemah. Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak akan mampu mengawal skala projek yang begitu besar,” katanya pada sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada wakil pejabat Sultan Perak di Bukit Chandan di sini hari ini.

Menurut Meor Razak, pembangunan ladang hutan itu dibimbangi memberi impak buruk kepada kira-kira 10 buah kampung berhampiran Sungai Perak termasuk Kampung Rambai Tujuh dan Sayong.

Malah katanya, projek itu juga dijangka akan mengancam populasi hidupan liar termasuk kawasan keliaran beberapa spesis mamalia terutama spesis yang dilindungi.

“Trend ladang hutan ini telah merebak ke beberapa negeri. Sebagai contoh di Baling, Kedah sebelum ini, berlaku kejadian kepala air di Gunung Inas.

“Itupun tidak besar, kira-kira 500 hektar tapi kita sudah nampak impaknya. lnikan pula di sini lebih 4,000 hektar, bayangkan impak berganda yang akan dialami,” katanya.

Tambahnya, projek berkenaan juga tidak mustahil akan menjejaskan sumber air mentah untuk loji rawatan air.

“Kerja-kerja pemusnahan litupan hutan dan kerja-kerja penyediaan tapak tidak mustahil akan mencemarkan kualiti air anak-anak sungai yang memasuki Sungai Perak.

“Kekeruhan, kelodak, mendapan dan juga berminyak yang terhasil boleh menjejaskan operasi muka sauk loji rawatan air yang terdapat di Sungai Perak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.