Nelayan mohon elaun sara hidup dinaikkan - Utusan Malaysia

Nelayan mohon elaun sara hidup dinaikkan

WAN SAIFUL Wan Jan bersama Siti Mastura Muhammad mendengar keluhan nelayan dalam sesi perjumpaan bersama golongan itu di Padang Benggali, Tasek Gelugor, Pulau Pinang semalam. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Nelayan sungai dan pantai di sini kini dalam dilema ekoran pendapatan yang diperolehi saban hari semakin berkurangan.

Pengerusi Koperasi Nelayan Sungai Korok dan Air Hitam, Mohd. Said Abdullah, 61, berkata, kebanyakan mereka terhimpit kerana hasil tangkapan kini tidak mampu menampung modal yang telah dikeluarkan nelayan.

Katanya, selain faktor cuaca yang tidak menentu, pencemaran yang berlaku menyusutkan lagi hasil tangkapan udang dan ikan di sekitar kawasan tangkapan mereka.

“Jika dahulu nelayan dapat hidup selesa, kini sebaliknya yang berlaku kerana mahu tangkap udang galah seekor pun susah.

“Justeru, kami memohon kerajaan dapat menaikkan elaun sara hidup (ESH) kepada RM500 sekali gus meringankan beban yang dihadapi nelayan.

“Sebelum ini, nelayan sungai dan laut masing-masing menerima elaun bulanan sebanyak RM250 dan RM300, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung pengeluaran kos seperti enjin bot dan pukat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum menuntut kenaikan elaun sara hidup ketika sesi perjumpaan bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Mazlan Abdul, 55, berkata, kerja tambakan laut menyebabkan hasil laut semakin berkurangan kerana menjejaskan ekosistem hidupan di kawasan berkenaan.

“Keadaan ini sudah lama berlarutan, namun nelayan tiada pilihan kerana inilah punca pendapatan kami selama ini.

“Sebab itu kita amat berharap kerajaan mendengar suara hati kami dengan menaikkan kadar elaun bulanan nelayan,” katanya.
Sementara itu, Wan Saiful dan Siti Mastura memaklumkan cadangan itu bakal disuarakan kepada kerajaan menerusi sidang Parlimen akan datang.

Masing-masing berpendapat kebajikan nelayan perlu dijaga memandangkan komuniti nelayan adalah antara penyumbang utama kepada sumber makanan negara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya