Nelayan ditemukan lemas dalam kejadian bot berlanggar di Pantai Remis - Utusan Malaysia

Nelayan ditemukan lemas dalam kejadian bot berlanggar di Pantai Remis

MAYAT nelayan warga emas yang terjatuh selepas bot dinaiki berlanggar dibawa ke Jeti Bagan Panchor, Pantai Remis hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seorang nelayan warga emas mati lemas apabila terjatuh ke dalam laut selepas bot dinaiki berlanggar dengan bot nelayan lain di perairan Kuala Bagan Panchor, Pantai Remis, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa Tan Ing Hap, 63, ditemui di muara Sungai Jarum Mas, kira-kira dua jam selepas kejadian tersebut berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Mohd. Akmal Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.58 pagi dan beliau bersama anggota ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Maklumat awal memaklumkan berlaku kemalangan melibatkan dua buah bot bertembung sesama sendiri menyebabkan tiga nelayan yang menaiki bot-bot tersebut jatuh ke dalam laut.

“Dua mangsa berjaya diselamatkan oleh nelayan lain manakala seorang lagi dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, berikutan itu, beliau bersama pasukan dibantu nelayan lain melakukan SAR khususnya di sekitar muara Sungai Jarum Mas.

Katanya, mangsa berjaya ditemui oleh nelayan pada pukul 8.55 pagi pada kedudukan kira-kira tiga kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Mohd. Akmal menerangkan keadaan kawasan muara yg berlumpur disebabkan air surut dan cetek, memudahkan pencarian mangsa yang berasal dari Bagan Panchor itu.

Menurutnya, mangsa dibawa ke daratan dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan di situ pada pukul 9.15 pagi.

Jelasnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.20 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.