Najib tahu transaksi akaun peribadinya - Saksi - Utusan Malaysia

Najib tahu transaksi akaun peribadinya – Saksi

NAJIB Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir pada perbicaraan kes rasuah 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengetahui transaksi-transaksi yang berlaku membabitkan akaun peribadinya di Ambank.

Ini kerana, bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut telah mengeluarkan beberapa cek daripada akaun berkenaan dan kad kredit yang dikaitkan dengan akaun terbabit juga telah digunakan.

Selain itu, bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping yang menguruskan lima akaun peribadi Najib percaya apa yang dinyatakan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengenai akaun tersebut kerana `tiada siapa yang akan menggunakan akaun PM untuk seleweng wang’.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Ging Ping ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

“Bagi saya, beliau mengetahui mengenai (transaksi) akaunnya kerana cek dikeluarkan dan kad kreditnya juga digunakan.

“Tidak terlintas di fikiran saya ada orang yang akan gunakan akaun PM (Perdana Menteri) untuk selewengan wang. Saya juga tidak terlintas seorang PM akan menyeleweng wang. Akaun ini (akaun peribadi Najib) diketuai oleh Bank Negara, semua orang di bank (Ambank), semua memerhatikan akaun ini termasuk peringkat atasan,” katanya.

Bagaimanapun saksi pendakwaan ke-41 itu berkata, terdapat kemungkinan Najib tidak mengetahui mengenai akaun terbabit kerana terdapat beberapa cek dikeluarkan melebihi baki dalam akaun.

Ging Ping berkata demikian pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

Saksi tersebut telah memberi keterangan selama 11 hari bermula 13 Oktober 2022 yang mana sembilan hari daripadanya adalah sesi soal balas.

Terdahulu saksi berkenaan memberitahu, dia mempercayai apa yang disampaikan oleh Jho Low dan permintaan untuk merahsiakan pemilik akaun adalah kehendak Najib sendiri.

Tambahnya, dia hanya mengikut arahan yang diberikan bagi menjaga kerahsian pemilik akaun.

Sepanjang perbicaraan 1MDB, pihak pembelaan mengatakan bahawa akaun peribadi Najib telah disalahgunakan oleh pihak tertentu termasuk Jho Low dan Ging Ping.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN