MyCare fokus salur bantuan kepada mangsa gempa di Syria - Utusan Malaysia

MyCare fokus salur bantuan kepada mangsa gempa di Syria

BATUL al-Soleh bersama tiga anaknya hidup menyewa di sebuah khemah di A'zaz, Syria.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Misi bantuan mangsa gempa oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negara ini turut akan disalurkan kepada penduduk yang terjejas di kawasan sekitar Syria.

Memberitahu Mingguan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shahrul Anwar berkata, pihaknya akan berangkat ke negara berkenaan dalam masa terdekat ini dan menumpukan bantuan di kawasan itu memandangkan ramai keluarga terkesan dengan bencana tersebut.

Jelas beliau, banyak sumbangan disalurkan melalui Turkiye ke Syria tidak sampai kepada mangsa yang terjejas memandangkan terdapat konflik di negara itu.

“Keperluan begitu mendesak di Syria kerana ramai yang sibuk mahu membantu mangsa di Turkiye, tetapi tidak banyak pihak yang fokus kepada mangsa di Syria serta keadaan pelarian di sana, ini perlu diberikan perhatian juga,” katanya di sini semalam.

Jelas Kamarul Zaman, pihak MyCare telah menyalurkan bantuan awal bernilai RM200,000 untuk membantu mereka yang terjejas di sana melalui pasukan sukarelawan tempatan.

Katanya, sumbangan itu bagi mendapatkan keperluan mendesak seperti makanan, khemah perlindungan dan alat pemanas.

“Sekarang ini, keadaan di sana masih di peringkat mencari dan menyelamat, pasukan sukarelawan yang ada juga mempunyai kepakaran tertentu seperti perubatan, psikososial serta boleh berbahasa tempatan.

“Sebab itu, kita hanya menghantar pasukan apabila keadaan menjadi lebih stabil dan pasukan ini akan memastikan bantuan yang disalurkan oleh kami dilaksanakan serta memberi keyakinan bahawa sumbangan masyarakat Malaysia sampai ke sana,” jelasnya.

Pada 13 Februari lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakui gagal menghantar bantuan yang sangat diperlukan ke wilayah Syria yang masih dilanda perang, susulan gempa bumi melanda negara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.