Muslim Care hantar kumpulan kedua ke Turkiye, Syria

Muslim Care hantar kumpulan kedua ke Turkiye, Syria

muslim care
Kumpulan kedua sukarelawan Muslim Care berlepas untuk membantu mangsa gempa bumi di Syria malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hanya selang seminggu selepas kepulangan kumpulan pertama, Muslim Care Malaysia (MCM) menghantar pula kumpulan sukarelawan kedua bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Kumpulan seramai sembilan orang itu berlepas dari terminal satu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul11.40 malam 21 Februari 2023.

Ketua misi, Ahmad Safuan Ujar berkata, berbeza dengan kumpulan pertama, sasaran utama penerima bantuan bagi misi kedua ini ialah mangsa gempa yang berada di wilayah utara Syria.

“Lokasi yang akan cuba kami masuki ialah Idlib di mana terletaknya dua sekolah milik MCM yang sudah beroperasi selama sembilan tahun sejak dibuka pada 2014,” katanya yang juga Setiausaha Agung MCM.

Menurutnya, selain sumbangan makanan, selimut dan pakaian kepada mangsa, pihaknya turut mensasarkan bantuan berimpak besar yang mungkin membabitkan tempoh lebih lama.

“Mungkin kami akan membina atau membaiki rumah golongan asnaf terutama ibu tunggal dan juga sekolah yang musnah kerana difahamkan, itulah keperluan mereka yang paling mendesak pada masa ini,” katanya.

Ahmad Safuan berkata, untuk misi kali kedua selama seminggu itu, MCM tidak bersendirian tapi turut bekerjasama dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta sebuah agensi kerajaan.

Organisasi terbabit ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yayasan Integrasi AlHuffaz, Yayasan Amal ASAS (Alumni Sekolah Alam Shah) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Kumpulan pertama misi bantuan MCM ke Turkiye membabitkan lima orang termasuk dua wartawan, pulang pada 14 Februari lalu selepas berada di negara itu selama enam hari.

Sementara itu, Presiden MCM Zulkifli Wahijan, mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan sumbangan melalui MCM bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

“Tabung sumbangan masih dibuka kerana jutaan rakyat Turkiye dan Syria yang terbabit dengan gempa bumi amat dahsyat ini masih memerlukan bantuan kita. Setakat ini lebih 45,000 dilaporkan terkorban.

“Kami menetapkan sasaran keseluruhan kutipan sebanyak RM1 juta dan Alhamdulillah, setakat ini jumlah yang dikutip sudah mencapai RM700,00,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 564490413882 atas nama Muslim Care  Malaysia dan hantarkan slip sumbangan kepada talian hotline MCM: 011-5005 0035 atau Ahmad Safuan: 013-488 6447. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN