PETALING JAYA: Kerajaan akan mengkaji semula perincian mengenai Projek Mass Rapid Transit (MRT3) bagi memastikan nilai terbaik dan yakin bahawa proses itu dapat mencapai penjimatan tambahan sekurang-kurangnya di bawah RM45 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pada asalnya iaitu 2018, MRT3 melibatkan kos sebanyak RM68 bilion dan pada tahun lalu, proses perolehan dimulakan serta kos projek dianggarkan sebanyak RM50 bilion.
“Usaha ini selaras dengan pembaharuan tatakelola untuk mengurangkan kos perolehan demi mencapai penjimatan yang dapat diagihkan semula untuk manfaat rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan menyediakan RM209 juta bagi mensubsidi pengangkutan udara untuk manfaat rakyat khususnya daripada pedalaman Sabah dan Sarawak.
“Kemudahan wheelchair ramp di tujuh lapangan terbang Sabah dan Sarawak dibina untuk manfaat ribuan berkerusi roda yang menggunakan MASWings,” katanya. – UTUSAN