Mesej lewat malam Joanna-Jho Low bukan hal peribadi - Utusan Malaysia

Mesej lewat malam Joanna-Jho Low bukan hal peribadi

jho low
Jho Low
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, mesej lewat malam di antara seorang bekas pegawai bank dan dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Teik Jho atau Jho Low bukan berkaitan hal peribadi.

Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu Ging Ping, 51, sebaliknya berkata, perbualan itu bertujuan membincangkan pemindahan wang RM5 juta melalui cek kepada UMNO selain memastikan wang tersebut mencukupi.

Menurut saksi pendakwaan ke-41, perbualan menerusi Blackberry Messenger (BBM) itu berlaku pada 21 Ogos 2014 di antara pukul 12.41 pagi dan 11.36 pagi.

Sehubungan itu, Joanna menegaskan perbualan lewat malam itu bukan untuk faedah beliau mahupun Jho Low, sebaliknya untuk kepentingan UMNO serta memastikan cek yang akan dimasukkan bukan cek tendang.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaan semula, Joanna menyatakan, beliau pernah mengunjungi kediaman mewah Jho Low di ibu negara beberapa kali namun kunjungan itu berkaitan urusan kerja.

Beliau menegaskan, perbualan mahupun pertemuan dengan ahli perniagaan itu tidak sesekali melibatkan hal peribadi.

Jelas saksi, meskipun beliau pernah mengunjungi Jho Low di kediamannya, mereka tidak pernah berdua-duaan namun akan ditemani oleh orang lain dan semata-mata bagi membincangkan urusan kerja dan perbankan.

Isu berkaitan hubungan Joanna dan Jho Low dibangkitkan oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengendalikan sesi pemeriksaan balas.

Joanna menafikan cadangan Muhammad Shafee bahawa beliau berjaga sepanjang malam untuk berkomunikasi dengan Jho Low sebaliknya membalas mesej berkaitan arahan ahli perniagaan itu.

Peguam bela itu secara sinis menyatakan beliau berharap dapat berurusan dengan seorang pegawai bank yang sanggup mengambil arahan hingga lewat malam.

Terdahulu, Joanna turut ditanya oleh Muhammad Shafee kewajarannya berkomunikasi sehingga lewat malam dengan Jho Low walhal beliau (Joanna) telah berkahwin.

Bagaimanapun, soalan itu dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair Thevaharan atas alasan soalan itu tidak sesuai ditanya kepada saksi.

Pada peringkat itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menasihatkan peguam itu supaya tidak bertanyakan soalan lanjut berhubung perkara tersebut.

Joanna memberikan keterangan terhadap Najib, 69 yang menghadapi pertuduhan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Bekas Perdana Menteri didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya