Menu Rahmah mampu atasi masalah obesiti - Utusan Malaysia

Menu Rahmah mampu atasi masalah obesiti

SEORANG pelanggan, Wan Abdul Halim Md Yusoff memesan Menu Rahmah di Restoran Nasi Kandar Stadium di Kuala Lumpur. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menu Rahmah yang diperkenalkan kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan makan pada harga murah, boleh menyumbang terhadap pengurangan kadar obesiti dalam negara.

Pakar pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Roslee Rajikan berkata, ini kerana menu tersebut dengan cara masakan yang sihat, kepelbagaian juadah disediakan, saiz dan kualiti hidangan disedia­kan dilihat sebagai ideal untuk kesihatan seseorang.

Menurutnya, kuantiti hida­ngan Menu Rahmah mengikut pinggan sihat Malaysia yang tidak berlebihan, tetapi cukup sebagai alas perut adalah satu contoh sajian yang sihat dan ideal.

“Menu Rahmah adalah inisia­tif bagus jika sajiannya lengkap bagi memenuhi tenaga dan zat harian yang mengandungi suku nasi, suku protein dan separuh sayur serta buah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Namun beliau berkata, gaya pemakanan harian perlu diteliti secara menyeluruh jika mahu mencapai matlamat pengurangan obesiti walaupun Menu Rahmah diambil sebagai makan tengah hari dan malam.

Berdasarkan hasil kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) yang dijalankan setiap empat tahun, kira-kira 50.1 peratus rakyat Malaysia mencatatkan berat badan berlebihan dengan 19.7 peratus daripada mereka menghadapi masalah obesiti pada 2019.

Ini bermakna satu dalam dua orang dewasa di negara ini menghadapi isu berlebihan berat badan manakala bagi kanak-kanak pula, 30 peratus daripada mereka ber­usia lima hingga 13 tahun menghadapi masalah obesiti.

Roslee memberitahu, Malaysia kini mencatatkan masalah obesiti tertinggi di Asia Tenggara.

Jelasnya, walaupun seseorang itu menjaga diet utama, tetapi kualiti makanan yang diambil sebagai snek pada waktu pagi atau petang mengandungi kandungan kalori daripada gula dan lemak sangat tinggi, akan memberi kesan terhadap berat badan seseorang.

Tambah beliau, sebaiknya Menu Rahmah mematuhi cara masakan sihat yang memenuhi zat harian seperti mineral dan vitamin dengan mempelbagaikan jenis hidangan di samping memastikan jumlah dan kepelbagaian sayuran bagi keperluan zat individu.

“Air manis yang dihidangkan sekali dalam sesetengah Menu Rahmah mungkin boleh digantikan dengan buah-buahan, menambahkan jumlah sayuran atau mempertimbangkan susu bagi kanak-kanak.

“Hal ini kerana, kunci utama mengawal obesiti adalah memfokuskan kuantiti dan kualiti makanan dalam sehari secara keseluruhan, bukan fokus pada satu sajian sahaja” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN