Masuk laluan bertentangan punca nahas empat maut - Utusan Malaysia

Masuk laluan bertentangan punca nahas empat maut

KEADAAN kereta terlibat kemalangan yang menyebabkan empat mangsa maut di Trong, Bukit Gantang semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Polis mengesahkan kemalangan yang mengorbankan dua pasangan suami isteri warga emas di Sungai Tiang dekat sini semalam, disebabkan kereta dinaiki mereka memasuki laluan bertentangan.

Kejadian sekitar pukul 5.30 petang itu mengorbankan pemandu kereta Toyota Vios, Chew Yang Kim, 74, dan isteri, Kok Siok Har, 64, bersama rakan mereka, Ng Swee Ho, 67, dan isteri, Ng Ah Mooi, 63.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, kemalangan itu membabitkan kereta dinaiki kesemua mangsa dan sebuah treler muatan batu arang dipandu lelaki berusia 49 tahun.

Katanya, kejadian berlaku ketika kereta itu dalam perjalanan dari arah Taiping menghala ke Pantai Remis manakala treler pula dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu Yang Kim dipercayai masuk ke laluan treler lalu berlaku pertembungan depan dengan depan antara dua kenderaan.

“Akibat dari kemalangan itu, pemandu kereta dan tiga penumpang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kemalangan yang berlaku di jalan lurus, dua hala dan terdapat garis putus-putus di tengah sebagai pemisah jalan, menyebabkan kedua-dua kenderaan rosak teruk di bahagian hadapan.

“Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong, Mohd. Shahidan Hassan berkata, sepasukan anggota segera diatur gerak ke lokasi selepas dimaklumkan kejadian itu.

“Anggota segera menjalankan operasi menggunakan peralatan menyelamat untuk membawa keluar kesemua mangsa yang tersepit. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya