Masir Kujat sertai PBM, langgar pendirian asal

Masir Kujat sertai PBM, langgar pendirian asal

LARRY Sng Wei Shien menerima penyertaan MASIR Kujat (dua kiri) dalam PBM. - GAMBAR FACEBOOK LARRY SNG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat yang sebelum ini bertegas tidak akan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) kecuali parti itu diterima menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN), akhirnya mengubah pendirian untuk tetap menyertai parti berkenaan.

Ia walaupun BN masih belum memutuskan sama ada mahu menerima PBM sebagai salah satu parti komponen walaupun PBM sudah menghantar permohonannya tahun lalu.

Presiden PBM, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, Masir juga dilantik sebagai Setiausaha Agung parti yang mana sebelum ini jawatan itu disandang oleh Nor Hizwan Ahmad sebelum Wei Shien melakukan penggantungan besar-besaran terhadap ahlinya sebelum ini.

“Selain Masir, beberapa profesional Dayak juga memohon untuk menyertai PBM. Beberapa lantikan lain dibuat dan penstrukturan semula beberapa jawatankuasa negeri telah selesai. PBM bergerak ke hadapan,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook hari ini.

MASIR KUJAT

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Masir sebagai calon Bebas gagal dalam percubaannya untuk mempertahan kerusi Parlimen Sri Aman apabila tewas kepada muka baharu daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Doris Sophia Brodie.

Pada Jun tahun lalu, Masir yang sebelum ini keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) menegaskan hanya akan menyertai PBM jika parti itu secara rasmi menjadi parti komponen BN.

Katanya, selagi BN tidak meluluskan penyertaan PBM dalam gabungan itu, beliau tidak akan menyertainya dan lebih rela menjadi ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan (Backbencher), sebelum Parlimen penggal ke-14 dibubarkan.

Pada Mac 2019, Masir pernah menganggotai PRS merupakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak, bagaimanapun, beliau meletak jawatan dan kemudian menyertai PSB diterajui Presiden, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Masir pernah bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak lalu di Balai Ringin, namun tewas kepada Datuk Snowdan Anak Donald Lawan (GPS) dengan undi majoriti 1,285.

PBM sebelum ini dilaporkan akan menyerahkan surat permohonan rasmi kepada BN untuk menjadi parti komponen dalam gabungan itu dan bukannya sebagai parti bergabung (Friends of BN).

Utusan Malaysia bulan lalu melaporkan, PBM di peringkat negeri-negeri kini dalam proses penstrukturan semula, tidak lama selepas dua bahagiannya di Semenanjung mengumumkan pembubaran jawatan kuasa.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan PBM yang pertama pada Oktober tahun lalu, Wei Shien mengangkat bekas pengasas parti, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ‘bakal Presiden’ parti.

Sehingga pada satu tahap, Wei Shien rasa kepemimpinannya tergugat ekoran tindakan Zuraida yang seringkali mencampuri hal ehwal parti, walhal beliau masih belum dilantik secara rasmi sebagai Presiden.

Wei Shien yang juga ahli Parlimen Julau mendakwa masih presiden mengikut peraturan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Beliau kemudian mengisytiharkan mesyuarat majlis tertinggi yang meluluskan peralihan kuasa kepada Zuraida sebagai tidak sah dan menggantung keahlian bekas ahli parlimen Ampang itu serta 11 yang lain pada hujung Oktober tahun lalu.

Zuraida dan 11 yang lain termasuk Nor Hizwan kemudian digugur dan dipecat pada 27 Disember tahun lalu kerana gagal mengemukakan maklum balas kepada Jawatankuasa Disiplin PBM dalam tempoh tujuh hari. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya