Masalah tenaga kerja, projek sakit lewatkan pembangunan sekolah daif

Masalah tenaga kerja, projek sakit lewatkan pembangunan sekolah daif

FADHLINA Sidek (dua kiri) ketika hadir merasmikan Seminar Wakil Sekolah KGMMB di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) mengenalpasti pembangunan sekolah daif di seluruh negara terbantut berpunca daripada masalah tenaga kerja dan projek-projek sakit serta lewat.

Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa agar masalah sekolah daif berkenaan diselesaikan segera.

“Sebenarnya dalam keseluruhan Malaysia ini kita ada lebih 400 (sekolah daif) sebenarnya, barangkali tempoh hari yang melambatkan sikit proses pembangunan itu adalah kerana tenaga kerja dan projek-projek yang sakit dan lewat.

“Tapi Alhamdulillah dengan pengumuman ini kita harap dapat selesaikan segera mana-mana yang masih tertangguh dan lewat. Sebenarnya ini antara tumpuan KPM juga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Wakil Sekolah Koperasi Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) di sini, malam tadi.

Beliau mengulas gesaan Perdana Menteri agar semua masalah sekolah daif di seluruh negara diselesaikan segera demi kebajikan anak-anak selain meningkatkan pendidikan negara.

Tambah Fadhlina, KPM akan mengemukakan senarai sekolah daif tersebut dalam masa terdekat bagi membolehkan usaha membaik pulih dilakukan segera.

“Dijangka menelan kos bilion ringgit tetapi saya fikir dari segi tumpuan itu kita akan lihat secara terperinci nanti apabila kita buat senarai. Kita umumkan mana dari segi jumlahnya di seluruh negara.

“Kita memang sudah ada senarai itu (sekolah daif) di setiap negeri malah kita sudah ada secara terperinci dan spesifik sebenarnya skala-skala yang melibatkan sekolah daif ini seperti enam, tujuh,” katanya.

Jelas beliau, pembangunan sekolah daif itu juga merupakan salah satu daripada tujuh aspirasi di KPM yang dititikberatkan demi keselamatan pelajar dan akses pendidikan yang lebih berkualiti. 

“Dalam tujuh aspirasi kita memang saya sebut secara spesifik Sabah dan Sarawak tapi apabila pengumuman Perdana Menteri ini saya fikir kita tak perlu rasa bimbang lagi kerana keseluruhan sekolah daif di seluruh negara akan lihat secara adil dan saksama.

“Semua negeri ada (sekolah daif). Sebab itu saya fikir dengan pengumuman tersebut ini memudahkan urusan kita untuk memberikan tumpuan kepada pembangunan pada setiap negeri,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya