Mangsa gigitan beruang tidak serik berkhidmat sebagai bomba

Mangsa gigitan beruang tidak serik berkhidmat sebagai bomba

MOHD. NIZAM Hamid (kiri) menerima kunjungan Dr. Mohammed Azman Aziz (tengah) dan Sayani Saidon di rumahnya di Bukit Besar, Kota Sarang Semut di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Anggota bomba bantuan yang cedera akibat digigit beruang matahari sesat di Yan awal bulan ini tidak serik untuk berkhidmat dengan pasukan tersebut, malah lebih bersemangat menabur bakti.

Mohd. Nizam Hamid, 27, menganggap insiden mengerikan itu hanya salah satu cabaran yang harus ditempuhnya sebagai anggota bomba.

“Tidak serik atau trauma kerana ini adalah salah satu cabaran yang harus saya tempuh sebagai anggota bomba. Saya tetap semangat untuk kembali bekerja,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Bukit Besar, Kota Sarang Semut di sini hari ini.

Terdahulu Mohd. Nizam yang juga pesawah menerima kunjungan Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed yang hadir menyampaikan pampasan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) berupa faedah hilang upaya sementara akibat insiden luar jangka itu.

Bercerita tentang insiden mencemaskan itu, kata Mohd. Nizam, ketika kejadian dia ditugaskan untuk mencari beruang berkenaan yang dikatakan sesat dan berkeliaran di kawasan sawah Kampung Kabu Sepuluh, Yan.

“Beruang itu bersembunyi di celah-celah pokok padi dan tiba-tiba menerkam saya. Saya menggunakan tangan untuk mengelak haiwan ini daripada menggigit leher oleh sebab itu tangan saya cedera digigit.

“Doktor cakap urat tangan tangan kiri saya putus tetapi dapat sambung balik. Alhamdulillah, saya harap dapat pulih seperti biasa nanti. Saya juga bersyukur kerana dengan pampasan Perkeso ini dapat tampung perbelanjaan harian saya ketika cuti sakit dari 2 hingga 21 Februari ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, kesedaran dalam kalangan orang ramai terhadap kepentingan mendaftar dan mencarum di bawah skim tersebut masih rendah sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai masalah sekiranya ditimpa bencana sewaktu bekerja.

“Peratusan yang mendaftar sebagai bekerja sendiri dalam 20 peratus sahaja di negara ini, masih jauh. Di Kedah, cuma 34,000 pekerja sendiri yang mencarum SKSPS, walaupun terdapat ramai yang bekerja sendiri seperti pesawah, nelayan dan penjaja.

“Mereka ini terdedah kepada pelbagai kemalangan seperti golongan nelayan jatuh ke laut, dihempap tong ikan dan sebagainya. Skim ini juga meliputi kemalangan ketika pergi dan pulang bekerja,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Pengarah Bomba dan Penyelamat Kedah, Sayani Saidon, kesemua 156 anggota bomba bantuan di negeri ini diwajibkan mencarum di bawah SKSPS demi menjaga kebajikan masing-masing ketika ditimpa musibah waktu menjalankan tugas. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.