Malaysia perlu pelan baharu anti rasuah nasional - Utusan Malaysia

Malaysia perlu pelan baharu anti rasuah nasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia memerlukan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) baharu yang lebih bersifat rasional dan mampu dilaksanakan ketika kedudukan negara di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antarabangsa jatuh tiga kali berturut-turut dalam tempoh tiga tahun ini.

Pelan baharu itu sebagai inisiatif kerajaan ke arah negara bebas rasuah dan berintegriti amat penting kerana pelan sedia ada yang berkuat kuasa selama lima tahun berakhir tahun ini, walhal masih banyak inisiatif gagal dicapai.

Justeru Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Kerajaan Perpaduan mesti memainkan peranan bagi meletakkan kedudukan negara setanding negara luar bebas rasuah, sekali gus mencerminkan ‘reformasi’ yang sering dilaungkan selama ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pemerhati Ra­suah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pelan anti rasuah nasional yang mempunyai 115 inisiatif sedia ada disifatkan sebagai yang terbaik di dunia, namun, Malaysia tetap berada dalam kedudukan tidak memberangsangkan.

“Jika ia dilaksana dengan penuh komited oleh penjawat awam, pemimpin dan semua pihak, sudah pasti kesemua isu rasuah dalam negara dapat dikekang. Persoalannya, sejauh manakah iltizam politik kerajaan ini dalam melaksanakannya?

“Mengikut pengetahuan saya, hanya 20 inisiatif berjaya dilaksanakan sementara baki­nya belum lagi disebabkan pelbagai kekangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pada 29 Januari 2019, kerajaan Pakatan Harapan melancarkan NACP 2019-2023.

Pelan itu dibuat berdasarkan 22 strategi dan 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor iaitu politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Jais berkata, melalui pendekatan program pendidikan dan kesedaran yang dilipat ganda diyakini memberi impak yang besar dalam membuat pembaharuan.

Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, Anwar mesti membawa pembaharuan institusi untuk menjadikan Kerajaan Perpaduan menjadi lebih bertanggungjawab.

Ia juga bagi memastikan kerajaan benar-benar telus khususnya dalam hal ehwal pengurusan kewangan negara.

“Selain itu, perlu ada komitmen yang diperbaharui untuk memerangi rasuah dengan menjadikan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bebas daripada pengaruh politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya