Majlis Ulama UMNO realisasi tujuan parti

Majlis Ulama UMNO realisasi tujuan parti

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan Majlis Ulama UMNO membawa peranan tersendiri terutama dalam menasihati parti itu bagi merealisasikan asas dan tujuannya.

Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia meliputi Perlembagaan UMNO iaitu menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu katanya, majlis itu berperanan mendidik dan mentarbiah ahli parti supaya selaras dengan asas dan tujuan parti seterusnya beristiqamah dengan Islam agar menjadi Muslim bertaqwa serta warganegara yang baik.

“Ketiga, majlis ini memainkan peranannya menasihati kerajaan agar sentiasa bertindak selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Malaysia iaitu Islam sebagai agama Persekutuan.

“Keempat, menangani isu semasa melibatkan kepentingan umat Islam di dalam dan luar negara serta membimbing umat untuk sentiasa istiqamah dengan Islam dan menjadi warganegara yang baik,” katanya selepas Mesyuarat Anggota Tertinggi yang dipengerusikan oleh Datuk Dusuki Ahmad di Menara Dato’ Onn di sini.

Menurutnya, Mesyuarat Anggota Tertinggi meluluskan 30 Mercu Tanda Majlis Ulama UMNO (Fasa Permulaan 2023-2024) untuk dilaksanakan perancangan strategik jangka masa pendek dan panjang yang memberikan impak kepada parti serta rakyat.

Jelas beliau, tiga daripada 30 Mercu Tanda tersebut ialah pertamanya, Program Halaqah yang menjadi program tetap pentarbiahan ahli parti untuk dilaksanakan di bahagian dan cawangan.

“Kedua, Sidang Muzakarah Meja Bulat Majlis Ulama UMNO yang dikendalikan oleh panel-panel Majlis Ulama. Ia adalah medan untuk mengenal pasti isu-isu kepentingan semasa dan masa hadapan umat Islam seterusnya menghasilkan resolusi yang berimpak tinggi demi pembangunan serta kemajuan ummah.

“Ketiga, menyemarakkan peranan Pusat Islam Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan menjadikan Surau Rahman WTC sebagai antara pusat aktiviti keilmuan Islam semasa menerusi kuliah ilmu secara berkala. Perincian mercu tanda yang lain akan dimaklumkan kepada ahli parti dan umum dari semasa ke semasa,” ujar beliau.

Mohd Khairuddin juga memaklumkan, struktur rasmi Majlis Ulama terbahagi kepada tiga iaitu Anggota Tertinggi, Panel Muzakarah dan Anggota.

“Panel Muzakarah pula terdiri daripada ulama dan ilmuwan Islam daripada dalam dan luar parti yang dilantik oleh Majlis Ulama. Anggota Majlis Ulama pula terbuka keanggotaannya kepada lepasan pengajian Islam dari institut pengajian tinggi atau institut pengajian tradisional Islam atau tokoh yang diperakui keilmuannya dalam pengajian Islam,” katanya.

Dalam pada Majlis Ulama UMNO berharap untuk terus memainkan peranannya dalam parti dan untuk kepentingan ummah selain sentiasa bersama dengan denyut nadi rakyat dalam menangani cabaran semasa selaras dengan kehendak Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya