MAIPs lancar tabung khas bantu mangsa bencana Turkiye dan Syria - Utusan Malaysia

MAIPs lancar tabung khas bantu mangsa bencana Turkiye dan Syria

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan bagi menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada salah seorang penerima yang layak dalam majlis di Masjid Al-Hakam, Kampung Kok Klang, Mata Ayer, Arau, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengambil inisiatif melancarkan Tabung Khas Sumbangan Mangsa Bencana Turkiye dan Syria 2023 susulan musibah yang menimpa rakyat negara berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, tabung itu merupakan medium bagi memudahkan seluruh masyarakat menyalurkan sumbangan.

Katanya, ia sekali gus dapat membantu pihak memerlukan yang terkesan dengan bencana gempa bumi melanda negara tersebut baru-baru ini.

“Bagi anggota masyarakat yang berhajat untuk memberikan sumbangan melalui MAIPs, boleh berbuat demikian dengan mendapatkan maklumat lanjut di laman portal rasmi MAIPs, www.maips.gov.my,” katanya.

Terdahulu, Mohd Nazim berkesempatan mengiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan bagi menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 101 orang asnaf terpilih melibatkan anak kariah Kampung Kok Klang dan Felda Chuping di Masjid Al-Hakam, Kampung Kok Klang, Mata Ayer, di sini.

Menerusi penyerahan itu, setiap penerima mendapat sumbangan wang tunai bernilai RM700 setiap seorang.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, aspek ketelusan dan ketulusan merupakan kunci utama dalam memastikan sesuatu misi kemanusiaan yang dijalankan mencapai maksud serta tujuannya.

“Adalah menjadi keutamaan bagi semua pihak yang menjalankan sesuatu misi kemanusiaan untuk memastikan kepercayaan masyarakat sentiasa terpelihara dan manfaat yang ingin dicapai menjadi kenyataan.

“Kepercayaan adalah perkara paling penting, bahkan ia merupakan amanah yang mesti dijaga oleh setiap pihak yang terlibat menjayakan misi kemanusiaan,” titah baginda.

Untuk rekod, Tuanku Syed Faizuddin pernah mengetuai beberapa misi kemanusiaan antarabangsa MAIPs sebelum ini antaranya membantu pelarian Syria di Mafraq, Jordan pada Februari 2016 dan bantuan kemanusiaan di Al-Quds pada Oktober 2018.

Baginda juga merupakan Kerabat Diraja di dunia pertama yang telah melakukan misi kemanusiaan di kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar Bangladesh pada Oktober 2017.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs turut berkenan mengadakan satu perbincangan secara dalam talian bersama Pengurusan Kanan badan bukan kerajaan (NGO) Misi Kemanusiaan Antarabangsa bagi menerokai peluang serta potensi untuk bekerjasama selepas ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya