Lima sekeluarga disamun penjenayah bertopeng - Utusan Malaysia

Lima sekeluarga disamun penjenayah bertopeng

Sekeluarga disamun
ANTARA suspek yang meloloskan diri selepas menyamun mangsa di Taman Petaling, Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Malang menimpa lima sekeluarga apabila disamun sekumpulan penjenayah bertopeng dan berparang yang menyusup masuk rumah mereka di Taman Petaling, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari itu turut mengakibatkan seorang daripada mangsa cedera akibat dipukul suspek yang meloloskan diri dengan menaiki sebuah kereta dipercayai Proton Waja diletakkan dekat laluan belakang rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia 38 hingga 70 tahun berada dalam rumah teres dua tingkat itu.

“Mereka yang memakai topeng, sarung tangan dan turut berparang memasuki rumah itu menerusi pintu belakang.  

“Suspek kemudian mengikat tangan dan menutup mulut empat sekeluarga sebelum membawa mereka ke dalam bilik manakala seorang lagi mangsa tidak diikat atas faktor usia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Hoong Fong, beberapa suspek turut menendang hidung, memukul dengan kayu dan mengetuk kepala seorang wanita berusia 45 tahun dengan parang.

“Penjenayah itu menyelongkar bilik dan mengambil wang tunai RM4,000, lima telefon bimbit dan pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM20,000. Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta Waja sama,” ujarnya.

Tambah beliau, kereta yang menggunakan nombor plat palsu itu ditemui pihaknya di Taman Desawan namun semua suspek lesap.

“Kita bagaimanapun menemui beberapa barang kes bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan semua suspek terlibat masih sedang giat dijalankan,” ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berdekatan.

Terdahulu, sebuah video tular di media sosial memaparkan empat lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah manakala seorang wanita cedera dengan kesan darah pada badan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya