Lembaga Peperiksaan nafi guna suara pempengaruh Tik Tok

Lembaga Peperiksaan nafi guna suara pempengaruh Tik Tok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Peperiksaan  menafikan dakwaan bahawa suara pempengaruh di aplikasi TikTok digunakan sebagai pelontar suara dalam Ujian Mendengar Bahasa Inggeris bagi Sijil Pelajaran Malaysia 2022 pada 16 Februari lalu.

Sebaliknya, katanya, pelontar suara yang digunakan dalam membina item atau instrumen ujian tersebut adalah terdiri dalam kalangan guru, pensyarah, atau penuntut universiti.

“Pelontar suara merupakan mereka yang berwibawa dalam berbahasa Inggeris. Mereka yang terlibat juga telah diberikan latihan sebelum proses pembinaan item atau instrumen ujian SPM Tahun 2022.

“Sehubungan itu, Lembaga Peperiksaan yakin bahawa kualiti bahan audio dan kertas soalan ujian SPM tahun 2022 kekal utuh. Lembaga Peperiksaan akan memastikan kepentingan dan keadilan kepada calon yang menduduki peperiksaan SPM 2022 adalah terjamin,” menurut kenyataan rasmi Lembaga Peperiksaan.

Sebelum ini, tularnya beberapa dakwaan dalam media sosial berkenaan kadar kelajuan pertuturan dan penggunaan pempengaruh Tik Tok sebagai pelontar suara.

Mengulas lanjut, keputusan menggunakan bahan audio dan kertas soalan ujian SPM 2022 juga dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan.

“Format soalan ujian SPM adalah dalam pelbagai bentuk, iaitu objektif aneka pilihan, objektif pelbagai bentuk dan subjektif respon terhad. Oleh itu, ujian SPM memerlukan calon mendengar, menganalisis konteks situasi dan memahami maksud keseluruhan bahan audio yang dimainkan.

“Lembaga Peperiksaan juga memastikan item atau instrumen yang dibina mencapai tahap kebolehtadbiran, keesahan, kebolehpercayaan dan kewibawaan. Tahap ini diberikan perhatian agar item atau instrumen tersebut adalah adil dan saksama kepada calon,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kadar kelajuan pertuturan pelontar suara bagi item atau instrumen adalah berdasarkan aras kompetensi Common European Framework of References for Languages (CEFR).

Jelasnya, pembinaan item atau instrumen ujian SPM 2022 ini berdasarkan kadar kelajuan pertuturan yang tipikal dan standard pertuturan dan perbualan.

“Di samping itu, aspek autentik pada penutur juga dititikberatkan dalam pembinaan item atau instrumen ujian SPM 2022 bagi mewujudkan konteks sebenar komunikasi.

“Praujian juga telah diadakan dan melibatkan murid sekolah di pelbagai lokasi sama ada bandar dan luar bandar bagi menentusahkan item atau instrumen adalah sesuai dan mencapai tahap kualiti yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya