Lelaki parah ditembak di Betong, kejadian pertama libatkan rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

Lelaki parah ditembak di Betong, kejadian pertama libatkan rakyat Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Kejadian seorang lelaki parah ditembak di Bandar Betong, Wilayah Yala, Selatan Thailand Sabtu lalu, merupakan insiden pertama melibatkan rakyat Malaysia.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintenden Zulkepli Ibrahim berkata, kes seumpama itu tidak pernah dilaporkan berbanding nahas jalan raya melibatkan rakyat negara ini di bandar berkenaan.

Malah katanya, tiada sebarang laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berkaitan ugutan jenayah termasuk oleh mangsa berusia 55 tahun.

“Ini yang pertama (melibatkan warga Malaysia) di Betong. Kita tidak terima laporan polis berkaitan ugutan jenayah sebelum kejadian tembak berlaku,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam (waktu Thailand), mangsa dari Pengkalan Hulu itu mengalami kecederaan di bahagian perut dan paha selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan seorang individu bermotosikal.

Kejadian itu dipercayai dilakukan suspek dari warganegara itu yang mengekori motosikal mangsa sehingga di hadapan sebuah kedai serbaneka yang merupakan lokasi kejadian tembakan dilepaskan.

Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Betong untuk rawatan manakala suspek melarikan diri.

Mengulas lanjut Zulkepli berkata, mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah dipindahkan ke Hospital Yala untuk rawatan lanjut.

“Difahamkan, suspek dalam kes ini telah ditahan pihak polis Thailand. Kita akan membantu siasatan pihak berkuasa di sana sekiranya diperlukan.

“Berdasarkan rekod lampau, mangsa tidak mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah melainkan dua rekod kes jenayah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya