AMPANG: Seorang lelaki ditahan selepas bertindak mencabul dan memukul kakak iparnya dalam kejadian di Kampung Tasik Permai, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 malam itu, lelaki berusia 32 tahun berkenaan turut mengugut abang kandungnya selepas dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita yang juga pengawal keselamatan berusia 38 tahun itu memaklumkan suaminya bertengkar dengan suspek di rumah mereka.
Menurutnya, suspek kemudian bertindak mencabul mangsa lalu mengarahkan wanita itu melakukan seks oral.
“Mangsa hanya berdiam diri, namun suspek memukulnya di kepala. Semasa kejadian, suspek dipercayai berada dalam keadaan mabuk.
“Suspek juga membuat ugutan jenayah terhadap abang kandungnya dengan meletakkan serpihan kaca di leher suami mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad Farouk, polis menahan suspek yang juga penganggur di lokasi kira-kira 12.50 tengah malam sebaik sahaj menerima maklumat berhubung kejadian.
Katanya, suspek kini menerima rawatan di Hospital Ampang akibat kecederaan dialami dalam pertengkaran berkenaan.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah, mencabul dan berkelakuan tidak sopan,” ujarnya. – UTUSAN