SUNGAI PETANI: Tindakan Khairy Jamaluddin yang mendedahkan kononnya Datuk Seri Dr. Ahmad Zahidi Hamidi pernah menawarkan jawatan Timbalan Presiden UMNO kepadanya sebelum ini dipersoalkan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri berkata, sesiapa sahaja boleh mengemukakan sebarang tuntutan atau kenyataan tetapi ia perlu berdasarkan bukti dan hujah yang tepat.
“Namun begitu, jika dakwaan itu benar bermakna baguslah kerana Presiden UMNO (Ahmad Zahid) membuka ruang kepada pemimpin muda sepertinya (Khairy).
“Maka, jika benar dia menolak tawaran tersebut, ia menunjukkan bahawa Khairy mempunyai selera politik yang lebih besar daripada itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Jelajah Bina Semula’ UMNO Kedah di Dewan Peladang Inn di sini, malam tadi.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum ini mendedahkan bahawa beliau pernah ditawarkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO oleh Ahmad Zahidi sendiri.
Khairy, yang dipecat daripada UMNO 10 hari lalu mendakwa, beliau bagaimanapun menolak tawaran itu kerana merasakan perlu ada perubahan dalam kepimpinan UMNO.
Mengulas lanjut, Megat berkata, sebarang dakwaan Khairy kini tidak lagi memberi erti kepada UMNO kerana bekas Ketua Pemuda UMNO itu tidak lagi berada dalam parti.
“Saya rasa tidak perlu lagi bercakap mengenai dia kerana wadah pejuangan politik kami kini sudah berbeza. Sebagai bekas pemimpin UMNO, adalah tidak adil untuk Khairy membuat kenyataan negatif tentang UMNO.
“Beliau mempunyai isu dengan Presiden dan bukan dengan parti yang pernah dipegangnya sebagai parti terbaik,” ujarnya.