Ketua UMNO Bahagian Shah Alam dituduh seleweng dana - Utusan Malaysia

Ketua UMNO Bahagian Shah Alam dituduh seleweng dana

SHAH ALAM
AZHARI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ketua UMNO Bahagian Shah Alam berdepan hukuman penjara lima tahun apabila dituduh atas enam pertuduhan melakukan penyelewengan dana program ibadah korban bernilai RM440,000 dan penggunaan dokumen palsu, di Mahkamah Sesyen, hari ini. 

Bagaimanapun, Datuk Azhari Shaari mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Rozilah Saleh

Berdasarkan pertuduhan, Azhari, 53, didakwa sebagai penanda tangan tunggal bagi Persatuan Belia Kampung Kuantan Timur,  Persatuan Belia Bersatu Teguh Shah Alam dan Persatuan Belia Kampung Kuantan Utara secara tidak jujur menyalahgunakan dana bagi program ibadah korban dan sumbangan persekolahan anak yatim masing-masing sebanyak RM120,000; RM120,000 dan RM200,000.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 8 September 2017 bagi kedua-dua program ibadah korban dan 27 September tahun sama bagi sumbangan sekolah anak yatim. Kesalahan itu didakwa dilakukan dekat sebuah cawangan bank di Pelabuhan Klang, Klang.

Justeru, beliau dituduh di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan iaitu menyalahgunakan harta dengan curang yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, sebat dan denda.

Bagi kesalahan penggunaan dokumen palsu, bapa kepada 4 orang anak itu dituduh menggunakan minit mesyuarat agung tahunan pada 2009 daripada persatuan-persatuan berkenaan yang dianggap sebagai tulen.

Kesalahan itu dilakukan dekat cawangan bank sama pada 19 Mei 2010 dan didakwa di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan iaitu menggunakan pemalsuan surat sebagai tulen yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Allan Suman Pillai kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili tertuduh, Ashok Kandiah Shanmuganathan memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung empat orang anak, dua daripadanya masih bersekolah.

“Siasatan adalah terhadap kes yang didakwa dilakukan pada 2010 hingga 2017, bagaimanapun tertuduh memberikan komitmen terhadap siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) walaupun ditangkap semalam,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM80,000 dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan dan menetapkan sebutan semula pada kes pada 13 April nanti.

Dalam masa sama, Rozilah turut memaklumkan tertuduh boleh membuat permohonan mendapatkan pasport antarabangsa daripada mahakamah apabila diserahkan nanti jika Azhari perlu pergi ke luar negara atas urusan perniagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya