PUTRAJAYA: Malaysia masih berdepan dengan ketirisan membabitkan ratusan juta ringgit dalam beberapa sektor perkhidmatan dan pengurusan kewangan negara dengan anggaran RM984.06 juta.
Ini berdasarkan kepada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 yang dikeluarkan semalam dan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Ia mengandungi tiga naskhah LKAN peringkat Persekutuan mengenai aktiviti kementerian, jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun; pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan serta pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, menerusi laporan aktiviti kementerian, jabatan kerajaan dan badan-badan berkanun, semakan audit mendapati berlaku dua kes pembaziran bernilai RM825.98 juta melibatkan pengurusan wabak Covid-19 (RM13.07 juta) dan pengurusan pembangunan Putrajaya (RM812.91 juta).
Katanya, kes pembaziran itu melibatkan antaranya berkaitan peralatan ventilator yang dibeli tidak dapat digunakan, penangguhan projek monorel dan depoh bas yang tidak digunakan.
“Terdapat juga satu kes melibatkan pembayaran tidak teratur bernilai RM100,000 iaitu program pengurusan perkhidmatan ambulans dan kes yang dibangkitkan adalah perkhidmatan udara dilaksanakan sebelum pesanan tempatan,” katanya dalam taklimat kepada media berhubung laporan itu di sini semalam.
Nik Azman berkata, ia turut melibatkan RM158.08 juta didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap pengurusan kewangan menyebabkan isu kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran wang kerajaan berdasarkan pengauditan pematuhan dilaksanakan sepanjang Disember 2021 hingga Ogos 2022 di tiga kementerian dan empat jabatan Persekutuan dengan jumlah semakan audit berjumlah RM1.127 bilion.
Kata beliau, pengauditan dibahagikan kepada kategori Terimaan dengan jumlah semakan RM78.86 juta dan kategori Bayaran dengan jumlah semakan sebanyak RM1.048 bilion.
“Isu yang melibatkan kehilangan atau kerugian wang awam adalah sejumlah RM116.95 juta, pembayaran tidak teratur sejumlah RM26.03 juta dan pembaziran sebanyak RM15.10 juta,” jelasnya.
Menurut Nik Azman, daripada jumlah tersebut, kehilangan atau kerugian wang awam berjumlah RM116.95 juta dikesan berlaku melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjumlah RM72.32 juta ekoran syarat pemastautin dan pemilikan kenderaan tidak dipatuhi selain pengiraan duti eksais tidak tepat; manakala Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) (RM37 juta) adalah membabitkan dana obligasi sosial yang belum diterima.
Katanya, ia turut melibatkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebanyak RM4 juta berkaitan Projek Dana Kandungan Digital tahun 2017-2019 gagal disiapkan; Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjumlah RM1.82 juta membabitkan denda tidak dikenakan; Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejumlah RM1.66 juta berkaitan sewa kuarters tidak dikutip dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak RM0.15 juta ekoran penalti tidak dikenakan.
“Pembayaran tidak teratur berjumlah RM26.03 juta pula dikesan berlaku di PDRM (RM17.76 juta), K-KOMM (RM7.31 juta), MAFI (RM0.73 juta) dan Kementerian Pertahanan sebanyak RM0.23 juta,” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Nik Azman berkata, sejumlah RM15.10 juta pembaziran juga dikesan melibatkan JPJ (RM14.23 juta) dan MAFI (RM0.78 juta).
“Sebanyak tujuh pengauditan prestasi bernilai keseluruhan RM66.862 bilion dilaksanakan melibatkan tujuh kementerian direkodkan. Daripada jumlah itu, sebanyak empat pengauditan bernilai RM32.52 bilion melibatkan kategori program atau aktiviti dan dua pengauditan bernilai RM34.342 bilion membabitkan projek.
“Hasil pengauditan dilaksanakan, Jabatan Audit Negara mengemukakan 21 syor diambil tindakan kementerian, jabatan atau agensi antaranya setiap cadangan projek terlebih dahulu dijalankan kajian terperinci sebelum diluluskan,” katanya.
Berhubung pembaziran bagi pengurusan pembangunan Putrajaya, sejumlah RM812.91 juta dikesan melibatkan penangguhan projek monorel sebagai tulang belakang sistem pengangkutan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini berjumlah RM797.18 juta termasuk penyenggaraan terowong pengangkutan awam itu bernilai RM2.16 juta.
Beliau berkata, tahap penawaran perkhidmatan bas adalah rendah, manakala depoh bas di Presint 14 tidak digunakan berjumlah RM12.21 juta, selain penggunaan infrastruktur park & ride tidak mengikut tujuan asal bernilai RM1.36 juta.
Mengenai kerugian pengurusan wabak Covid-19 pula oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), didapati sebanyak 93 daripada 136 unit ventilator yang dibekalkan syarikat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) tidak dapat digunakan menyebabkan kerugian berjumlah sejumlah RM13.07 juta kepada kerajaan.
Dalam pada itu, Nik Azman berkata, audit yang dijalankan mendapati sejumlah RM145.37 juta baki peruntukan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) masih belum dipulangkan oleh dua kerajaan negeri iaitu Selangor dan Sabah yang sepatutnya berbuat demikian selepas program itu tamat pada Oktober 2022.
“Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah mengesahkan baki akhir yang akan dipulangkan kepada KWAN adalah RM17.40 juta, manakala bagi Kerajaan Selangor pula berjumlah RM47.38 juta,” katanya.
Selain itu, Nik Azman berkata, laporan audit turut mengesan lebihan alat pelindungan peribadi (PPE) yang ketara iaitu 3.08 juta pasang sarung kasut dan 0.84 juta helai sut PPE. – UTUSAN










