Ketahui dasar kerajaan negeri dalam Jelajah Kita Selangor Penyayang - Utusan Malaysia

Ketahui dasar kerajaan negeri dalam Jelajah Kita Selangor Penyayang

Jelajah Selangor
AMIRUDIN Shari menyaksikan pengunjung Jelajah Kita Selangor Penyayang yang melakukan pemeriksaan kesihatan di bawah program Selangor Saring dekat Pangsapuri Seri Perantau, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penduduk atau rakyat Selangor disaran mengambil peluang menghadiri Program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) untuk mengetahui dasar dan inisiatif daripada kerajaan negeri kepada mereka.

Malah, terdapat 44 program menerusi Iltizam Selangor Penyayang ditawarkan kerajaan negeri yang melibatkan pelbagai bantuan seperti akses kesihatan, keusahawanan, belia, kos sara hidup dan sebagainya.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, JKSP pada tahun ini membuka tirai dan menjadi wadah kepada kerajaan negeri untuk menguar-uarkan segala inisiatif ditawar kepada penduduk Selangor.

“Program sehari bermula pukul 9 pagi hingga pukul 5 petang menyediakan beberapa acara  antaranya saringan kesihatan percuma Selangor Saring dan jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat.

“Sebelum ini kita anjur Jelajah Selangor Penyayang (JSP) juga di sembilan daerah bermula di Hulu Langat dan berakhir Hulu Selangor pada awal Disember lepas. Kali ini kita teruskan JKSP di daerah sama bermula Klang dan menumpukan lokasi yang belum pernah turun secara langsung,” katanya ketika berucap dalam program tersebut di Pangsapuri Seri Perantau, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan penduduk turut berpeluang menyertai program secara terus dengan agensi berkaitan seperti Selangor Saring.

Selain di Klang, JKSP selepas ini akan diteruskan secara berjadual di Gombak bermula 25 Februari ini, Kuala Selangor (26 Februari), Hulu Langat (4 Mac), Kuala Langat (5 Mac), Sepang (11 Mac), Petaling (12 Mac) dan Sabak Bernam (19 Mac).

“Kesemua program memberi gambaran komitmen kerajaan negeri untuk mendengar isu penduduk setempat selain memastikan tiada golongan ditinggalkan seiring slogan Selangor Penyayang.

“JKSP fasa dua pula akan diteruskan selepas Aidilfitri di semua daerah selain penganjuran bersekali dengan majlis rumah terbuka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya