Kes tikam: Polis belum dapat pengesahan hospital - Utusan Malaysia

Kes tikam: Polis belum dapat pengesahan hospital

Polis, Tikam
S. SASIKALA DEVI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis masih belum dapat mengesahkan lelaki yang menikam mangsanya dekat Hospital Selayang pada 14 Februari (Selasa) lalu mengalami masalah mental berikutan laporan daripada hospital masih belum diterima.

Malah, siasatan juga belum dapat diteruskan apabila suspek yang sedang dirawat dekat sebuah hospital berdekatan dipercayai berada dalam keadaan tidak sesuai untuk menerima pelawat.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi, laporan mengenai situasi kesihatan termasuk masalah mental masih belum diperoleh, malah polis juga belum dapat menemubual suspek.

“Setakat ini, suspek masih lagi ditahan di wad psikiatri hospital. Belum ada apa-apa tangkapan atau tuduhan dibuat ke atas suspek. Sehingga ini kita tidak dapat mengesahkan perkara ini lagi.

“Kita minta laporan daripada hospital (termasuk psikiatri), namun belum diterima tentang tikaman tersebut. Kita tak pasti lagi dia ada masalah mental. Laporan belum diterima, jadi pengesahan berkaitan dengan keadaan mental tidak dapat dibuat lagi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki dilaporkan mengamuk ketika berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Selayang dan menikam seorang pesakit di hospital berkenaan sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.

Mangsa bagaimanapun, stabil selepas menjalani pembedahan pada hari sama dan diletakkan di bawah pemerhatian Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Sasikala menjelaskan, suspek yang datang dari Lahad Datu, Sabah dipercayai bertindak agresif ketika berada di rumah kakaknya di Kuala Lumpur sebelum ahli keluarganya bertindak menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk mendapatkan bantuan.

Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke hospital dengan menaiki kereta milik warisnya sambil diiringi motosikal polis dan tiba di Jabatan Kecemasan kira-kira pukul 1.25 pagi, sementara kejadian tikam berlaku kira-kira pukul 3 petang.

“Polis menerima panggilan berkaitan suspek tersebut yang bertindak agresif dan diminta bantuan untuk mengiringi suspek ke hospital. Pihak polis mengiringi waris suspek di mana suspek dibawa dalam kereta dan diiringi oleh motosikal polis ke hospital.

“Semasa insiden berlaku, polis tiada di tempat kejadian. Polis hantar suspek kira-kira pukul 1.25 pagi dan kejadian berlaku adalah di selepas waktu tengah hari dalam pukul 3 lebih. Mereka balik meneruskan tugasan selepas menghantar suspek,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.