KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan nilai pembayaran berjumlah RM446 juta kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara sejak September 2015 sehingga 31 Disember 2022 melalui Insentif Pengeluaran Getah (IPG).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui pelaksanaan IPG, pekebun kecil juga akan menerima harga getah peringkat ladang 50 peratus kandungan getah kering sekurang-kurangnya pada harga RM2.50 sekilogram.
“IPG diperkenalkan untuk mengurangkan beban pekebun kecil ketika harga getah rendah di samping menggalakkan mereka terus menoreh,” katanya ketika menggulung perbahasan berkaitan isu getah, kelapa sawit dan agrokomoditi lain di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kerajaan juga melaksanakan program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) bagi membantu menstabilkan pendapatan pekebun kecil dan memenuhi keperluan industri hiliran berasaskan lateks.
Katanya, setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program itu akan menerima insentif tunai sebanyak RM1 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering selain menerima bantuan secara sekali sahaja bernilai RM850 untuk setiap hektar bagi input pertanian seperti baja dan racun.
Malah katanya, kementerian bersama agensi terlibat telah mengkaji mekanisme penambahbaikan kadar IPG berhubung cadangan untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap kepada RM4 sekilogram.
“Dapatan kajian menunjukkan bahawa sekiranya kadar IPG dinaikkan kepada RM4 sekilogram daripada RM2.50 pada masa ini, kerajaan memerlukan peruntukan RM1.29 bilion berdasarkan jumlah pengeluaran getah pada 450,000 tan dengan harga purata tahunan SMR20 sebanyak RM6.10 sekilogram.
“Untuk itu, hal ini memerlukan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan,” tambahnya.
Mengulas mengenai isu kebergantungan terhadap pekerja asing, beliau berkata, ia boleh ditangani melalui adaptasi mekanisasi dan automasi serta peningkatan penggunaan jentera di ladang sawit.
Kementerian juga telah menubuhkan Konsortium Mekanisasi dan Automasi Sawit (Marcop) untuk menggalakkan penyelidikan dan peningkatan produktiviti pekerja ladang melalui teknologi yang dibangunkan.
“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM30 juta melalui geran padanan dalam Belanjawan 2021 untuk menyokong aktiviti Marcop sementara pihak industri pula menyumbang RM30 juta melalui kutipan ses Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Peruntukan keseluruhan Marcop sebanyak RM60 juta ini akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pengkomersialan teknologi mekanisasi ladang. Sehingga kini, sebanyak 19 permohonan telah diterima oleh Marcop,” katanya. – UTUSAN









