Kerajaan Perpaduan bentuk Jawatankuasa Pilihan Raya hadapi PRN - Utusan Malaysia

Kerajaan Perpaduan bentuk Jawatankuasa Pilihan Raya hadapi PRN

ANWAR Ibrahim bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat di Menara Dato’ Onn. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia merupakan antara tiga jawatankuasa yang disepakati hari ini, termasuk Jawatankuasa Strategi dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik, dengan mereka akan bersidang dalam tempoh beberapa minggu ini.

Menurut Anwar, Jawatankusa Pilihan Raya itu akan merencanakan berkaitan PRN terutamanya pembahagian kerusi dan menumpukan kegiatan mereka untuk memastikan Kerajaan Perpaduan mempunyai tapak kukuh dalam PRN nanti.

“Pengarah-pengarah pilihan raya akan bersidang dalam tempoh seminggu ini dan menetapkan penyelaras. Ketuanya adalah pengarah pilihan raya parti-parti. Jawatankuasa Pilihan Raya (juga) akan segera bincang (pembahagian kerusi).

“Satu hal yang disepakati yang sangat positif bagi saya adalah kerana kesepakatan dan komitmen semua parti termasuk rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak untuk terus membantu sebagai satu pasukan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato’ Onn di sini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Jawatankusa Strategi itu pula ditubuhkan bagi memberi tumpuan terutamanya dalam aspek komunikasi apabila berdepan dengan kenyataan fitnah melampau.

“Contoh isu pembakaran al-Quran itu, beberapa orang kononnya tokoh-tokoh agama menggunakan kenyataan dalam ucapan-ucapan mereka dalam kenyataan mereka seolah-seolah kita belum berbuat apa-apa padahal masa itu kita telah mengeluarkan kenyataan keras mengecam, kementerian luar panggil Duta Sweden dan berikutnya saya umumkan pengedaran satu juta al-Quran,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, mesyuarat hari ini juga bersetuju membentuk Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan dengan membentuk struktur pimpinan yang akan bersidang pada setiap bulan.

“Terima kasih kerana mereka berikan persetujuan untuk saya mempengerusikan dan ketua-ketua parti gabungan akan menjadi timbalan pengerusi dan pimpinan lain sebagai naib pengerusi.

“Sekretariat diketuai oleh Setiasuha agung iaitu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Sekretariat (adalah) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki. Pimpinan parti lain akan dilantik menganggotai Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Terma yang ditetapkan (dalam majlis ini) tentunya untuk memastikan dasar-dasar itu disepakati bersama. Selain Jemaah Menteri mempunyai tugas tertentu dan perbincangan setiap minggu, majlis ini akan memberikan pandangan mereka tentang dasar utama Kerajaan Perpaduan dan memastikan pandangan-pandangan semua itu diambil kira dalam merumuskan dasar-dasar tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.