PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengutamakan nyawa rakyat terlebih dahulu meskipun terpaksa memperuntukkan lebih banyak wang untuk mengambil lebih banyak doktor kontrak sebagai kakitangan tetap.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Jurucakap Gerakan Hartal Doktor Kontrak memaklumkan, perkara itu perlu menjadi asas utama dalam merangka Suruhanjaya Kesihatan yang bakal dibentangkan pada masa terdekat ekoran sistem kesihatan awam semakin kritikal kerana banyak hospital kerajaan berdepan masalah kekurangan petugas apabila seorang doktor kini perlu merawat 1,000 pesakit.
Katanya yang dienggan dikenali, punca kekurangan pegawai perubatan disebabkan lebih 514 doktor kontrak berhenti kerja pada tahun lalu kerana kecewa kerajaan lambat menyelesaikan isu kebajikan dihadapi sebelum ini dan mahu mencari peluang cerah di luar negara atau hospital swasta berbanding berkhidmat di tanah air sendiri.
“Menteri cakap kalau boleh mahu ambil semua pekerja, tetapi beliau akui ada kekangan iaitu ketiadaan dana untuk pengambilan serta keterbatasan perjawatan. Kalau sudah sampai tahap wad kecemasan pesakit kena menunggu lama sebab tidak cukup doktor, jadi mana lebih penting nyawa atau duit,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, pihaknya memang mahu menyerap semua kakitangan kesihatan termasuk petugas kesihatan kontrak menjadi kakitangan tetap, namun mengakui kerajaan berdepan kekangan ketiadaan dana dan keterbatasan perjawatan.
Dalam pada itu, jurucakap sama memberitahu, hasrat menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan perlu disegerakan atau selewat-lewatnya pertengahan tahun ini kerana rancangan itu sudah lama namun sehingga kini belum nampak hasilnya walaupun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, akan dibentang di Parlimen dalam masa terdekat.
Ujar beliau, penubuhan suruhanjaya akan menjadi sembang kosong semata-mata jika dibiarkan tanpa sebarang tindakan khususnya dalam memperhalusi soal tuntutan doktor kontrak.
“Lagi lambat Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan diwujudkan, selagi itulah masalah kekurangan doktor tidak selesai dan akhirnya hospital berterusan mengalami kesesakan untuk tempoh seterusnya. Malah setiap kali tukar menteri, mesti ada rancangan suruhanjaya, namun perkara ini tidak ke mana,” jelasnya.
Mengulas gesaan Dr. Zaliha agar petugas kesihatan tidak mogok, jurucakap itu menjelaskan, ia tidak akan berlaku berlaku sekiranya pertemuan itu berlangsung sejurus beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan.
Beliau mempersoalkan mengapa perlu tempoh yang panjang sedangkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hanya mengambil masa 26 hari untuk bertemu kumpulan doktor kontrak berbanding penggantinya.
“Namun kami mengalu-alukan hasrat beliau untuk bertemu dengan kami dalam masa terdekat. Itu pun selepas kami bersedia melakukan mogok sekali lagi jika Kementerian Kesihatan terus membisu dalam menangani isu berkaitan sistem kesihatan negara dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya. – UTUSAN










