Kerajaan perlu cari cara naikkan motivasi pegawai perubatan - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu cari cara naikkan motivasi pegawai perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permasalahan melibatkan kakitangan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dipandang secara holistik dalam mencari penyelesaian supaya ia tidak meruntuhkan sistem kesihatan negara.

Ini memandangkan, kira-kira 80 peratus penduduk di negara ini mendapatkan rawatan daripada doktor yang bertugas di perkhidmatan kerajaan.

Naib Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamalludin Ab. Rahman berkata, isu ‘brain drain’ sentiasa berkait rapat dengan perkara lain dan disebabkan itu ia tidak boleh dipandang dalam satu sudut sahaja.

Menurut beliau, kerajaan perlu melihat bagaimana untuk menaikkan motivasi pegawai perubatan bekerja supaya kumpulan tersebut tidak berada di dalam tekanan sehingga membuatkan mereka mengambil keputusan berhenti.

“Keseluruhan isu ini kita tidak boleh melihat kepada konteks perkhidmatan kesihatan sahaja semata-mata, kita kena tengok secara menyeluruh iaitu situasi bekerja di dalam Malaysia.

“Antaranya seperti lihat kepada kondisi tempat kerja dan ia melibatkan banyak perkara. Sebagai contoh seorang pegawai perubatan khususnya perempuan berkeluarga pasti bimbang mengenai penempatan serta penjagaan anaknya.

“Andai kata majikan, bukan sekadar KKM tetapi seluruh Malaysia boleh melihat mengenai aspek ini dan beri bantuan kepada kakitangan ia akan membantu. Sebagai contoh, menyediakan tempat jagaan kanak-kanak untuk doktor yang kena on call memandangkan hampir semua pusat jagaan beroperasi pada waktu pejabat.

“Jika nak bayar dengan gaji lebih tinggi, saya tidak merakan kerajaan mampu untuk menampung sekiranya mahu melakukan peningkatan tersebut. Jadi perlu lihat apakah cara yang boleh membantu menaikkan moti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu akhbar ini melaporkan, tujuh daripada 10 kakitangan perubatan KKM mahu berhenti kerja dengan 95 peratus daripada keseluruhan 1,652 responden dalam tinjauan sebuah laman web berita kesihatan CodeBlue, percaya bahawa sistem penjagaan kesihatan awam Malaysia kini berada dalam ‘krisis’.

Dalam tinjauan tersebut, kumpulan profesional dalam sektor kesihatan kerajaan di seluruh negara melaporkan, tahap kemarahan dan ketidakpuasan hati yang tinggi terhadap sistem penjagaan kesihatan awam.

Mengulas lanjut, Jamalludin berkata, bagi meringankan tugas pegawai perubatan dalam merawat pesakit terutama di hospital kerajaan, KKM perlu lebih mewar-warkan alternatif lain dan rakyat sendiri perlu cakna mengenai informasi disampaikan.

Jelasnya, terdapat rakyat yang mengalami kesakitan bukan kecemasan tetapi masih datang secara terus ke hospital sedangkan klinik kesihatan boleh beri rawatan diperlukan.

“Saya dimaklumkan banyak klinik-klinik kerajaan di kawasan Kuala Lumpur masih buka sampai 10 malam tetapi tidak ramai orang datang kerana rakyat fikir apabila sakit perlu terus ke hospital walhal klinik kerajaan ada yang buka.

“Jadi siapa salah di sini? Rakyat atau sistem kesihatan? Jadi saya rasa rakyat perlu mengambil tahu dengan lebih lagi dan kerajaan iaitu pemberi khidmat kesihatan harus giat mewar-warkan mengenai perkara ini,” katanya.

Tambahnya, beliau sebagai antara individu yang terlibat secara langsung mengesahkan KKM sedang giat melakukan usaha menambah kakitangan namun ia tidak semudah seperti sering diperkatakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.