Kerajaan belum tentukan jangka masa bentang Akta Tanggungjawab Fiskal - Ahmad Maslan  - Utusan Malaysia

Kerajaan belum tentukan jangka masa bentang Akta Tanggungjawab Fiskal – Ahmad Maslan 

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Had peratusan hutang kerajaan tidak melebihi 65 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menanggung bayaran khidmat hutang yang tidak melebihi 15 peratus daripada bajet tahunan Kerajaan Persekutuan antara peruntukan yang terangkum di dalam Akta Tanggungjawab Fiskal yang dijadual dibentang tahun ini.

Bagaimanapun jangkaan pembentangan akta berkenaan masih belum ditentukan lagi.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebarang perbelanjaan operasi kerajaan harus berdasarkan hasil pendapatan kerajaan, namun, kelonggaran berhutang diberi kepada perbelanjaan pembangunan.

“Bagi had siling hutang statutori negara, kerajaan telah menaikkan had siling sebanyak dua kali daripada 55 peratus kepada 60 peratus daripada KDNK semasa pandemik Covid-19 dan kemudian kepada 65 peratus sehingga kini,” katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di lobi Bangunan Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, persoalan sama ada kerajaan akan mengurangkan had siling ke tahap sebelumnya masih dalam perbincangan.

“Pada ketika ini, kadar hutang kerajaan kepada KDNK adalah 60.4 peratus berbanding had siling 65 peratus. Sama ada kita akan kembali ke had 55 peratus atau 60 peratus, ia akan diputuskan nanti,” katanya.

Semasa sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, kedudukan hutang itu telah meningkat ketara kepada 60.4 peratus berbanding 52.4 daripada KDNK pada tahun 2019.

Katanya, ia disebabkan kerajaan perlu membuat pinjaman tambahan bagi membiayai beberapa pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi dengan suntikan fiskal berjumlah RM110 bilion yang bertujuan menangani impak pandemik Covid-19.

“Secara amnya, setiap tahun kerajaan perlu membuat pinjaman untuk membiayai defisit fiskal dan membiayai semula hutang prinsipal sedia ada dan kerajaan terpaksa membuat pinjaman baharu bagi menampung perbelanjaan pembangunan. 

“Pinjaman tahunan ini akan meningkatkan paras hutang Kerajaan selagi mana kedudukan kewangan Kerajaan mengalami defisit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembiayaan pembangunan tersebut amat penting kerana ia merupakan pelaburan awam yang mempunyai kesan pengganda besar dan berimpak tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

Menjelaskan mengenai aspek bayaran khidmat hutang iaitu bayaran faedah ke atas pinjaman terkumpul,, Ahmad berkata, sebanyak RM41.3 bilion telah dibelanja pada tahun 2022 dan meliputi 14 peratus daripada kutipan hasil.

“Bayaran khidmat hutang akan terus meningkat selagi mana hutang sedia ada tidak berkurang dan Kerajaan perlu membuat pinjaman baharu untuk membiayai defisit tahunan.

“Pada tahun sebelum ini, ia hanya antara sembilan peratus hingga 11 peratus dan lebihan ini dapat digunakan bagi projek berkaitan rakyat. Sebaliknya, kita menggunakan wang tersebut untuk selesaikan bayaran khidmat hutang dan projek rakyat terpaksa dihadkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya