Kenal pasti petugas KKM mahu berhenti - Utusan Malaysia

Kenal pasti petugas KKM mahu berhenti

KEMUDAHAN bercuti bagi petugas semasa musim perayaan di pedalaman amat penting . - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengenal pasti latar belakang setiap seorang pegawai perubatan ketika wujud laporan 70 peratus petugas kementerian mahu berhenti kerana tidak berpuas hati dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abdul Razak berkata, mudah bagi kerajaan mengenal pasti jika doktor-doktor berkenaan adalah pegawai perubatan baharu atau telah lama berkhidmat dengan kementerian.

Beliau musykil dengan laporan dikeluarkan kerana konteks ‘doktor berhenti kerja’ boleh terjadi disebabkan pelbagai alasan, yang tidak semestinya di­sebabkan masalah sistem penjagaan kesihatan.

Namun beliau tidak menolak masalah seperti kekurangan fasiliti kesihatan, beban kerja, kemudahan serta imbuhan dan persekitaran pekerjaan tidak sihat mendorong kepada kakitangan perubatan berhenti daripada berkhidmat.

“Selalunya yang mahu berhenti adalah mereka yang baru menamatkan pengajian atau housemenship. Mereka dibebani banyak tugasan di wad. Kakitangan gred tertinggi tidak akan semudah itu berhenti tanpa alasan kukuh.

“Jadi apa maksudnya berhenti kerja? Alasannya boleh menjadi macam-macam. Setiap tahun juga kita menerima lambakan graduan perubatan dan ada yang masih belum dilantik secara kontrak mahupun tetap sedangkan mereka mahu mendapatkan pekerjaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin akhbar ini melaporkan pendedahan portal berita Code Blue, tujuh daripada 10 kakitangan perubatan kementerian mahu berhenti kerana tidak berpuas hati dengan sistem penjagaan kesihatan.

Utusan Malaysia cuba mendapatkan maklum balas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa termasuk gerakan Hartal Doktor Kontrak me­ngenai hal ber­kenaan namun gagal.

Boi Saidi berkata, dakwaan bahawa sistem kesihatan awam berada dalam ‘krisis’ hanya di­sebabkan ramai kakitangan perubatan mahu berhenti bekerja adalah melampau.

“Kenyataan ini keterlaluan, sebab ia perlu dinilai melalui nisbah kakitangan untuk sesebuah populasi atau penduduk. Kalau mahu lihat kritikal atau tidak, lihatlah nisbahnya.

“Jika tidak silap saya, sekarang nisbah negara 1 doktor bersamaan 500 penduduk, yang sesuai kehendak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.