ALOR SETAR: Kementerian Pendidikan (KPM) terbuka menerima sebarang kritikan daripada mana-mana pihak termasuk warganya, mahupun orang awam dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara.
Bagaimanapun, menurut menterinya, Fadhlina Sidek, setiap kritikan atau aduan yang disampaikan itu perlu bersifat konstruktif dan bukan destruktif untuk memastikan semua pelan pendidikan negara berjalan lancar.
“Kita sambut baik (kritikan) kerana ini juga antara komen-komen saya apabila ada kritikan terhadap guru-guru yang dilontarkan terhadap KPM. Kita tidak ada masalah tentang kritikan ini kerana yang penting adalah kritikan konstruktif yang akan membawa kepada pembinaan pendidikan yang lebih kukuh.
“Tetapi kalau kritikan itu destruktif, ia akan merobohkan banyak perkara yang kita bina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Wakil Sekolah Koperasi Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), di sini malam tadi.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bahawa pelajar universiti dan institusi pengajian tinggi diberi kebebasan sepenuhnya untuk bersuara termasuk mengkritik beliau dan menteri-menterinya.
Mengulas lanjut, Fadhlina secara peribadi juga menegaskan beliau ketika menerajui KPM mengambil sikap musyawarah ketika membuat sesuatu keputusan.
“Jadi saya sambut baik dan fikir ini adalah antara ruang yang selamat kalau kita boleh kritik secara konstruktif dan seterusnya berbincang untuk membina pendidikan yang lebih baik untuk Malaysia.
“Saya terbuka dalam kritikan sebab itu saya kata jangan halang mereka mengkritik, bagi mereka ruang, mereka sudah lama didiam dan dibisukan. Jadi bagi ruang, kita ambil maklumat itu dan baiki,” katanya. –UTUSAN










