Kemelut Raihan, Nazrey Johani bakal terungkai dalam konsert

Kemelut Raihan, Nazrey Johani bakal terungkai dalam konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemelut yang melanda Raihan dengan bekas vokalis utama kumpulan itu, Nazrey Johani bakal terungkai apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk berkongsi pentas dalam sebuah konsert, menjelang akhir tahun ini.

Mengesahkan perkembangan terkini itu, komposer yang banyak menghasilkan lagu-lagu Raihan, Farihin Abdul Fatah berkata, dia dihubungi oleh pihak penganjur yang berminat menyatukan kumpulan legenda tersebut.

“Ada penganjur yang berminat datang berjumpa saya. Dia kata sudah berjaya pujuk Raihan dan pihak mereka juga sudah bersetuju.

“Dia minta kebenaran saya untuk menghubungi Nazrey pula. Konsert ini mungkin diadakan selepas sambutan raya Haji, sekitar Ogos. Setakat ini, kedua-dua pihak sudah bersetuju,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, Farihin yang bertanggungjawab mencetuskan kebangkitan Raihan berkata, penyatuan anggota kumpulan Raihan bukan melibatkan acara terdekat iaitu Konsert Garis Masa Raihan yang akan berlangsung pada 18 Februari ini.

Beliau optimis dan yakin Raihan akan berjaya disatukan di atas pentas yang sama, sekali gus mengetepikan segala isu yang pernah melanda mereka.

“Parti politik pun boleh bersatu, inikan pula kumpulan nasyid. Bukan tidak pernah bersama sejak zaman bujang, malah dulu hubungan mereka baik seperti adik-beradik.

“Kita pun biasa dengar kisah melibatkan artis berkumpulan seperti kumpulan rock yang pernah membawa haluan masing-masing, tetapi boleh berdamai akhirnya,” katanya.

Ditanya sama ada usaha menjadi pendamai pernah dibuat, Farihin berkata, dia pernah mencuba tetapi tidak berjaya.

Katanya, usaha tersebut mungkin tercapai di ‘tangan’ orang lain, walaupun dia pernah menguruskan Raihan sejak zaman awal kemunculan mereka pada 1996.

“Saya sudah kenal Raihan jauh lebih lama daripada orang lain, tetapi tidak semestinya saya berjaya menjadi pendamai. Ini semua soal hati yang dipegang oleh Allah SWT.

“Sebagai manusia, kita perlu mempunyai sikap pemaaf. Kalau pihak A berkeras hati, pihak B perlu berlembut. Begitulah sebaliknya,” jelasnya.

Terdahulu, anggota kumpulan Raihan, Che Amran Idris memberitahu, konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam pada 26 November tahun lalu, terpaksa ditunda atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan seperti Pilihan Raya Umum Ke-15 dan cuaca tidak menentu.

Menurutnya, konsert tersebut akhirnya diputuskan untuk dianjurkan pada 18 Februari ini sempena sambutan Israk Mikraj selepas perbincangan dengan pihak penganjur.

Selain Che Am, Raihan dianggotai Abu Bakar Md Yatim dan Amran Ibrahim bakal mengimbau peminat menerusi rangkaian lagu hits seperti Puji-Pujian, Iman Mutiara, Sesungguhnya, Thank You Allah, 25 Rasul dan Syukur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya