Kawasan berbukit punca liputan lemah di Kampung Lebur Jaya

Kawasan berbukit punca liputan lemah di Kampung Lebur Jaya

KERATAN laporan Utusan Malaysia Jumaat lalu.

GUA MUSANG: Keadaan bentuk muka bumi berbukit menjadi penyebab lebih 100 penduduk Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis, di sini mendapat liputan 4G yang lemah.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia hasil siasatan selepas melakukan kunjungan ke kampung berkenaan dan mendapati jarak menara telekomunikasi sejauh 2.3 kilometer dari kampung terbabit.

“MCMC mengambil maklum isu talian telefon dan capaian internet lemah di Kampung Lebur Jaya seperti yang dilaporkan oleh beberapa agensi berita.

“Kita dapati terdapat menara 4G sedia ada kira-kira 2.3 km dari lokasi pengadu dan bentuk muka bumi yang berbukit-bukau di kawasan pengadu menyebabkan lokasi berkenaan mendapat liputan 4G yang lemah dari menara tersebut,” katanya semalam.

MCMC memberitahu, pihaknya sudah memasukkan Kampung Lebur Jaya dalam Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 2.

Katanya, selain itu MCMC juga mengarahkan pihak penyedia perkhidmatan untuk berusaha menambah baik liputan dari menara sedia ada.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, lebih 100 penduduk di Kampung Lebur Jaya menghadapi masalah talian telefon dan capaian internet yang lemah sejak hampir 10 tahun lalu.

Masalah berlaku apabila kampung berkenaan tiada pencawang dan perlu menum­pang menara telekomunikasi Kuala Betis yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari kampung itu. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN