Kantin sekolah di Maran rosak dibaik pulih - KPM

Kantin sekolah di Maran rosak dibaik pulih – KPM

MURID terpaksa makan di lorong pejalan kaki kerana kantin sekolah mereka rosak dan retak serta sudah tidak boleh digunakan di Maran, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan kantin di Sekolah Kebangsaan Kampung Awah, Maran, Pahang akan dibaik pulih dan sudah pun disenaraikan dalam projek daif kementerian.

KPM menerusi kenyataan akhbar berkata, kantin rosak itu sudah termasuk dalam senarai 74 projek daif yang diperakukan untuk Rolling Plan ke-3 (RP3) tahun ini.

Menurutnya, kelulusan projek berkenaan tertakluk kepada pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.

“KPM difahamkan, projek baik pulih kantin itu akan membabitkan aspek merobohkan bangunan daif sedia ada dan membina semula bangunan baharu termasuk kantin dan lain-lain.

“Kemudahan lain dibina termasuk mengikut piawaian dan mesra orang kurang upaya (OKU), perolehan peralatan dan kelengkapan baharu serta menambah baik kemudahan infrastruktur sedia ada,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sementara menunggu pembinaan semula kemudahan itu, pihak sekolah sejak awal lagi meletakkan pita larangan memasuki kawasan tersebut atas faktor keselamatan kerana ia diisytiharkan tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tambah KPM lagi, pihak sekolah juga menyediakan khemah khas untuk digunakan oleh murid dan guru ketika waktu rehat.

“KPM sentiasa cakna dan prihatin terhadap isu yang melibatkan soal kebajikan dan keselamatan murid, malah komited memastikan sekolah berada dalam keadaan baik, selamat dan kondusif untuk keselesaan murid dan guru,” katanya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia pada 10 Februari lalu melaporkan isu kerosakan kantin sekolah itu yang menyebabkan 230 orang murid terpaksa makan merata-rata termasuk di tepi longkang.

Difahamkan, kantin sekolah itu rosak sejak 2016, malah aduan sudah disalurkan kepada pihak berwajib, namun tiada tindakan dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya