PETALING JAYA: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Kamil Othman dilantik sebagai Pengerusi baharu badan tersebut.
Pelantikan itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil melalui hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Menurut Fahmi, Kamil merupakan individu yang tidak asing dalam industri.
“Tahniah buat Datuk Kamil Othman atas lantikan sebagai Pengerusi baharu Finas.
“Minggu depan saya atur pertemuan untuk bincang beberapa perkara termasuk hala tuju Finas, serta meneliti dapatan dan teguran laporan Ketua Audit Negara untuk penambahbaikan dan pembetulan,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas pula akan dilantik secepat mungkin.
Pengerusi Finas sebelum ini, Datuk Seri Zurainah Musa ditamatkan perkhidmatannya lebih awal susulan pertukaran kerajaan.
Pada 11 Disember tahun lalu, Senator berkenaan mengesahkan penamatan khidmatnya sebagai peneraju agensi perfileman negara itu.
Zurainah memaklumkan tempoh perkhidmatannya dipendekkan oleh Fahmi selaku menteri daripada tarikh yang sepatutnya pada 9 Jun 2024. – UTUSAN