Kaedah pindah tulis bantu pelajar cedera jawab SPM - Utusan Malaysia

Kaedah pindah tulis bantu pelajar cedera jawab SPM

MOHD. Ikmal Daniel Abdul Muhaimin (kanan) kelihatan ceria ditemani rakan-rakan selepas selesai menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu SPM secara pindah tulis dibantu seorang guru di SMK Syed Ahmad di Tambun Tulang, Arau, Perlis. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Biarpun terpaksa menanggung kesakitan di bahagian tangan dan tidak mampu menulis namun tidak menghalang seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ahmad di sini menjawab kertas soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui kaedah pindah tulis yang dibantu oleh seorang guru di sini hari ini.

Mohd. Ikmal Daniel Abdul Muhaimin, 17, terpaksa menjawab SPM secara pindah tulis itu selepas tidak mampu menulis akibat kemalangan jalan raya Sabtu lalu.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, dia sedang menunggang motosikal berdekatan kawasan Simpang Tiga Lomboh dan terbabas seorang diri selepas mengelak daripada bertembung dengan kereta yang tiba-tiba keluar dari simpang berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, saya mengalami kecederaan pada bahagian ibu jari kaki, lutut dan juga tangan kanan menyebabkan saya tidak mampu menulis kerana mengalami ketegangan. Saya bersyukur kerana pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis menyediakan seorang guru bagi membantu menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu yang memerlukan saya menulis esei,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Mohd. Ikmal Daniel, bantuan tersebut memudahkan dia menjawab kerana hanya memberitahu jawapan secara lisan dan kemudian ditulis oleh guru di atas kertas jawapan.

Difahamkan pelajar tersebut dimasukkan dalam kategori calon kurang upaya dan dibolehkan menjawab soalan dengan bantuan seorang guru dari sekolah lain yang dilantik JPN.

Calon akan merangka jawapan pada sekeping kertas terlebih dahulu sebelum esei atau jawapan sebenar ditulis oleh guru yang membantu berdasarkan draf jawapan dan sebutan lisan calon.

Biasanya mereka akan diberi masa tambahan dan sebagai contoh jika masa peperiksaan satu jam, calon pindah tulis akan diberi tambahan masa 30 minit.

Sementara itu, guru yang membantu pelajar tersebut, Normi Shafriza Ahmad Shaupi dari SMK Datuk Jaafar Hassan berkata, calon berkenaan mampu meneruskan peperiksaan dengan baik.

Katanya, dia dipanggil membantu pelajar berkenaan selepas calon tersebut dimaklumkan mengalami kesukaran menulis akibat kemalangan pada Sabtu lalu.

“Kaedah menjawab peperiksaan secara pindah tulis ini menggunakan idea dan jawapan sepenuhnya daripada pelajar dan guru pembantu hanya membantu menulis semula draf ke atas kertas jawapan SPM.

“Setakat kertas pertama tadi, calon dilihat mampu meneruskan peperiksaan dengan baik dan saya harap kaedah ini dapat membantu dia menghadapi peperiksaan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya