Juru kimpal rugi RM339,900 ditipu Macau scam - Utusan Malaysia

Juru kimpal rugi RM339,900 ditipu Macau scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Seorang juru kimpal kerugian RM339,900 dipercayai ditipu individu yang menyamar sebagai pegawai polis pada 17 Januari lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 52 tahun itu dikatakan telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar itu dan mendakwa mangsa telah menjual kad pengenalan miliknya dengan harga RM12,000.

Menurutnya, mangsa turut dimaklumkan oleh penyamar tersebut bahawa kad pengenalannya itu telah digunakan oleh individu lain untuk melakukan aktiviti jenayah.

“Pada masa yang sama, mangsa turut didakwa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram bernilai jutaan ringgit.

“Mangsa kemudian diminta bercakap dengan pegawai Bank Negara dan diarahkan untuk membuka dua akaun bank baharu serta menyerahkan semua maklumat termasuk gambar depan dan belakang kad ATM,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, sepanjang tempoh sehingga 29 Januari lalu, mangsa telah diarahkan untuk mengeluarkan wang simpanan dari Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan memasukkan wang tersebut ke dua akaun yang baru dibuka.

Katanya, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM200,000 melalui 19 transaksi ke dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Selain itu, sejumlah RM139,900 wang telah dipindahkan oleh mangsa dalam akaun Bank Islam melalui 11 transaksi.

“Perkara itu hanya disedari setelah adik mangsa terdengar perbualan telefon di antara mangsa dan individu berkenaan sebelum mangsa bertindak membuat laporan polis,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Zaki berkata, seorang guru kerugian RM285,000 dipercayai ditipu individu menyamar bekerja di sebuah syarikat insurans.

Katanya, kejadian berlaku pada 6 Januari lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada syarikat insuran yang mendakwa kononnya mangsa membuat tuntutan insurans.

“Panggilan itu kemudiannya disambung kepada pegawai polis yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes penggubahan duit haram dan terlibat dengan Kumpulan Lim Lam Beng serta satu waran tangkap akan dikeluarkan ke atas mangsa.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar ikat jamin bagi menyelesaikan kes berkenaan. Pada 12 Januari lalu, mangsa telah membuat pinjaman peribadi sebelum memasukkan wang ke dalam akaun Bank Islam melalui pindahan di kaunter dan mesin CDM secara berperingkat,” katanya.

Muhamad Zaki berkata, pada 15 Februari lalu, mangsa sekali lagi menerima panggilan dari nombor yang sama dan meminta mangsa membuat pinjaman bank bagi tujuan membebaskan mangsa dari kesalahan tersebut.

“Mangsa kemudiannya sekali lagi membuat pinjaman dengan bank lain berjumlah RM 110,000 dan diarahkan untuk memasukkan wang pinjaman berkenaan ke akaun Bank Islam. Bagaimanapun mangsa telah membatalkan niat untuk memasukkan wang ke dalam akaun Bank Islam selepas timbul rasa curiga dan segera membuat laporan polis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya