BALING: Seorang bapa tidak dapat menahan sedih apabila gagal menyelamatkan anak perempuannya dalam kebakaran membabitkan rumah mereka di Kampung Besah, Kuala Ketil, pagi semalam.
Rozali Nayan, 55, berkata, ketika kejadian, anak perempuannya, Nor Batrisha, 14, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri, sedang tidur di biliknya di tingkat atas.
“Sekitar pukul 7.15 pagi, kebakaran disedari isteri saya, Nor Shakinah Shuib, 33, apabila dia terhidu bau asap dan lantas mengejutkan saya yang sedang tidur di tingkat bawah.

“Saya berlari naik ke tingkat atas dan cuba menendang pintu bilik anak, berkali-kali saya cuba namun gagal kerana anak menguncinya dari dalam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, mereka ternampak api bermula di kawasan tengah rumah yang juga bahagian bawah bilik Nor Batrisha.
“Kami dengar suara anak menjerit memanggil saya dan ‘mak da’ serta menjerit ‘ayah sakit, ayah tolong’. Saya dengar sayup-sayup dia menjerit kesakitan dan minta tolong, namun kami tidak dapat masuk ke biliknya untuk membantu kerana api sedang marak.
“Saya juga tidak larat menendang pintu bilik itu dan cuba minta pertolongan jiran-jiran, namun tetap gagal menyelamatkannya sehingga anggota bomba sampai untuk membantu dan memadam api,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu melibatkan sebuah rumah dua tingkat separuh kekal.
“Mangsa yang berada di tingkat atas terjatuh ke tingkat bawah setelah api marak dan mayat ditemukan oleh anggota bomba pada pukul 9.40 pagi dalam keadaan terlentang dan terbakar sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN









