PETALING JAYA: Kerajaan digesa supaya membentangkan rang undang-undang berkaitan pendanaan politik bermula pada mesyuarat pertama Parlimen penggal ke-15, 13 Februari ini kerana ia sudah lama tertangguh.
Gesaan itu dibuat selepas akaun bank Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana didakwa menyeleweng dana kerajaan bernilai RM92.5 bilion.
Tanpa adanya undang-undang yang mengikat parti politik untuk mengisytiharkan sumber dan wang yang diperoleh, dikhuatiri lebih banyak parti politik terus membudayakan perolehan dana yang meragukan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, undang-undang tersebut tidak boleh bersifat ‘pilih bulu’ atau menjurus kepada parti politik tertentu supaya mengisytiharkan dana berkenaan.
“Desakan untuk kita mempunyai undang-undang ini sudah lama sejak zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) hinggalah kepada Pakatan Harapan (PH) lagi. Hingga sekarang masih belum ada dan lihatlah apa yang telah berlaku sekarang.
“Kalau pun undang-undang ini sudah ada, jangan pula letakkan beban pada Bersatu sahaja, tetapi kesemua parti perlu isytihar aset yang mereka ada barulah tindakan itu dilihat telus,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kata Kartini, kerajaan perlu melihat contoh duluan di luar negara seperti Amerika Syarikat dan Mexico yang menyaksikan wakil rakyatnya menerima sumbangan daripada kumpulan kongsi gelap untuk menggerakkan kempen-kempen politik.
Bagaimanapun, beliau percaya, keadaan itu tidak berlaku di Malaysia namun semua pihak masih memerlukan undang-undang pendanaan dan sumbangan politik.
“Inilah sumber mereka yang akhirnya memakan diri. Apabila berurusan dengan kumpulan ini, maka menyelesaikannya juga adalah melalui cara mereka seperti pembunuhan. Akhirnya, Amerika Syarikat belajar dan membuat undang-undang supaya sumber dana yang diterima itu boleh diaudit dan diketahui puncanya,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, sekurang-sekurangnya usul rang undang-undang pendanaan politik dibentang dahulu menerusi mesyuarat Parlimen.
“Sekiranya terdapat perkara berbangkit selepasnya, kemudian barulah dilanjutkan untuk kajian. Sebenarnya, inilah masa paling sesuai untuk memuktamadkan pelaksanaan dana politik memandangkan ia antara yang tidak sempat dilakukan ketika kerajaan menjanjikan reformasi institusi.
“Apabila kerajaan perpaduan yang mendukung reformasi, lagilah perkara ini dituntut dengan harapan akta ini menjadi pembaharuan, keperluan bagi menambah baik perjalanan politik negara,” katanya. – UTUSAN










