Jana Wibawa: Wan Saiful bakal dihadapkan ke mahkamah - Utusan Malaysia

Jana Wibawa: Wan Saiful bakal dihadapkan ke mahkamah

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan dijangka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini dipercayai berhubung kes dana Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Selain Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, seorang ahli perniagaan, Adam Radlan Adam Muhammad juga didakwa membabitkan kes sama.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan telah mendapat izin mendakwa kedua-dua individu berkenaan dengan mereka dituduh di mahkamah pada pukul 9 pagi ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik berpangkat Datuk antara dua individu yang bakal didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini berhubung projek Jana Wibawa.

Satu sumber mendedahkan kepada akhbar ini, suspek yang juga seorang ahli Parlimen itu disyaki telah menerima rasuah daripada kontraktor yang melaksanakan projek Jana Wibawa itu.

Kata sumber itu, selain beliau, seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat juga akan didakwa melibatkan siasatan kes sama.

Pada 9 Disember lalu, SPRM mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 daripada Kementerian Kewangan.

SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 billion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggarkan hampir RM600 bilion.

Susulan siasatan itu, beberapa kontraktor mengakui membayar komisen terbabit dengan wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun sebuah parti politik kononnya untuk tujuan pembiayaan politik.

Pada 2 Februari lalu, SPRM mengesahkan telah membeku dua akaun bank membabitkan sebuah parti politik bernilai lebih RM40 juta bagi membantu siasatan penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.