Jabatan Veterinar jawab status subsidi ayam, telur - Utusan Malaysia

Jabatan Veterinar jawab status subsidi ayam, telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) tampil menjelaskan beberapa isu berkaitan subsidi ayam dan telur yang dilaporkan akhbar ini baru-baru ini.

Katanya, status pemberian subsidi ayam dan telur bagi tahun ini masih belum diketahui kerana dalam proses untuk mendapat kelulusan Kabinet.

“Sebagai makluman, permohonan subsidi ayam dan telur bagi 2022 telah ditutup pada 15 Januari 2023.

“Permohonan subsidi bagi tahun ini masih belum dibuka kerana perkara itu baru saja dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada 17 Februari lalu.

“Sehingga kini, JPV serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan masih menunggu minit kelulusan Kabinet bagi pelaksanaannya,” katanya.

Katanya, permohonan kepada Kabinet bagi subsidi ini adalah bagi tempoh Januari hingga Jun 2023.

Kenyataan itu mengulas laporan Mingguan Malaysia bertajuk ‘Subsidi penternak ayam, telur dikaji semula’ bertarikh 19 Februari 2023 dan laporan Utusan Malaysia bertajuk ‘Subsidi ayam, telur ditarik balik?’ bertarikh 20 Februari 2023.

Dalam laporan tersebut, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan akan mengkaji semula keperluan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan telur menjelang pertengahan tahun ini.

Menurut beliau, sehingga kini subsidi yang diberikan kepada penternak tersebut sudah mencecah RM1.8 bilion dan dijangka melebihi RM2 bilion menjelang Jun ini.

Katanya, jumlah subsidi yang diberikan terlalu besar dan jika kerajaan berjaya menstabilkan harga ayam dan telur, maka tiada keperluan untuk memberi subsidi kepada penternak tersebut.

Satu lagi laporan mendedahkan, penternak ayam penelur percaya kerajaan tidak akan meneruskan pemberi subsidi kepada mereka dalam usaha menstabilkan pengeluaran bekalan tersebut.

Satu sumber mewakili sebuah ladang pengeluar telur di Lembah Klang mendedahkan, perkara itu semakin jelas apabila borang permohonan tuntutan subsidi dalam bentuk Google Form dalam laman web JPV sudah tiada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya