SUBANG JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kejadian pesakit mental menikam pesakit lain di Jabatan Kecemasan Hospital Selayang bukan disebabkan kesesakan.
Jelas beliau, kejadian tersebut boleh berlaku di mana-mana sahaja memandangkan pesakit mental mampu bertindak di luar jangkaan.
“Sekiranya pesakit psikiatri dibawa oleh polis (Polis Diraja Malaysia) bukan jabatan kecemasan sahaja (bertindak luar jangkaan), kalau dekat tempat awam pun boleh bertindak begitu juga.
“Kita kena lihat proses atau prosedur operasi standard (SOP) berkenaan pesakit psikiatri yang dibawa oleh polis, di mana kita hendak letak dan sebagainya. Kita kena perkemaskan SOP tersebut.
“Kebetulan datang ke tempat kecemasan, jadi tanggapan ia terjadi kerana kesesakan tetapi kalau pesakit psikiatri ini terganggu bukan di hospital pun akan menjadi masalah juga, jadi laporan itu hanya hendak tuju kepada kesesakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Global Surgery Initiative sempena Ulang Tahun ke-60 Malaysian Society of Anaesthesiologists (MSA), di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, seorang pesakit mental menikam seorang lelaki tempatan di bahagian pinggang menggunakan pisau sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan pada abdomen kiri dan kanan badan serta pada bahagian belakang badan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan memastikan mangsa diberikan rawatan yang terbaik susulan kecederaan diterima daripada kejadian tersebut.
“Sejurus mendapat perkhabaran insiden di Hospital Selayang, saya bergegas ke lokasi selepas sesi parlimen, bagi mendapatkan maklumat dan penjelasan daripada pihak hospital.
“Saya bersama Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Pengarah Hospital serta pasukan Doktor yang merawat mangsa, telah bertemu keluarga mangsa bagi menjelaskan keadaan yang berlaku termasuk usaha-usaha yang telah dilakukan dalam memastikan pesakit diberikan rawatan yang terbaik.
“Status terkini pesakit juga akan dilaporkan dari masa ke semasa kepada keluarga. Perkara ini sedang dalam siasatan pihak yang berwajib,” katanya melalui satu hantaran di Facebook. – UTUSAN