Isu peruntukan jadi tumpuan pemukiman ahli Parlimen 

Isu peruntukan jadi tumpuan pemukiman ahli Parlimen 

ONN HAFIZ GHAZI (dua dari kiri) menerangkan sesuatu kepada Ahmad semasa Majlis Dialog Belanjawan 2023 Peringkat Negeri Johor di Kota Iskandar, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Isu pengurangan peruntukan semua ahli Parlimen dijangka menjadi topik utama dalam sesi pemukiman yang akan diadakan di Putrajaya pada 12 Februari ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemukiman itu bermula tengah hari hingga petang melibatkan semua 148 ahli Parlimen blok kerajaan, sehari sebelum sidang Dewan Rakyat diadakan keesokannya.

“Kita akan lihat apa jawapan Perdana Menteri tentang peruntukan ahli Parlimen dalam program itu kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Dialog Belanjawan 2023 Peringkat Negeri Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan kepada ahli Parlimen bagi tahun ini akan dikurangkan dan diberi secara berperingkat-peringkat sebagai sebahagian daripada langkah mengawal kewangan negara.

Anwar dilaporkan berkata, pengurangan perbelanjaan berjumlah lebih 65 peratus, iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta itu akan dinilai semula apabila keadaan ekonomi dan kewangan negara bertambah baik pada masa depan.

Dalam pada itu, Onn Hafiz dalam ucapannya menyarankan kerajaan supaya mempertimbang perbelanjaan lebihan dalam Belanjawan 2023 bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, langkah itu perlu dibuat memandangkan ekonomi negara dan dunia ketika ini sedang berada dalam keadaan mencabar.

“Saya cadangkan tahun ini bukan tahun sesuai untuk kita mengejar bajet positif. Saya minta maaf, kerana ekonomi tahun ini mencabar. Penguncupan ekonomi, kehilangan pekerjaan berlaku di seluruh dunia, ini ditambah dengan peperangan antara Russia dengan Ukraine, ini semua ada kesan terhadap ekonomi.

“Jadi saya rasa langkah mendapatkan sebuah bajet positif kita tunggu dahulu, mungkin tahun depan adalah lebih baik, sekurang-kurangnya itu adalah pandangan kami di Johor,” katanya.

Onn Hafiz berpandangan, sekiranya Belanjawan 2023 dikecilkan berbanding belanjawan yang dibentangkan Ogos lalu, sudah pasti perkara itu akan memberi kesan di peringkat bawah, termasuk negeri Johor.

“Kami risau sekiranya bajet dipotong dan menjadi kurang berbanding sebelumnya, jika itu berlaku akan ada domino effect terhadap pembangunan di bawah, ini kerana ada banyak perkara yang diminta Johor,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.