Isu pelupusan saham IRIS Corporation Berhad dibentang Kabinet

Isu pelupusan saham IRIS Corporation Berhad dibentang Kabinet

SAIFUDDIN Nasution Ismail berbual dengan Timbalan Ketua Pengarah (OperasiI) JIM, Jafri Embok Taha (dua kiri) ketika penghantaran pulang kanak-kanak lelaki warga Bangladesh di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersedia membentangkan isu pelupusan saham IRIS Corporation Berhad kepada  Kabinet.

Beliau berkata, bagaimanapun, pada masa ini beliau sedang meneliti segala dokumen berkaitan syarikat berkenaan.

“Insya-Allah jika tiada apa-apa masalah, saya akan bentang dalam mesyuarat mingguan jemaah menteri pada Jumaat ini untuk tindakan kerajaan selanjutnya,” kata beliau kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Isu IRIS mula ‘kecoh’ apabila ia bertindak melupuskan 80 peratus kepentingan dalam subsidiarinya yang terlibat dalam projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) sekali gus mencetuskan kebimbangan kemungkinan segala data sensitif Jabatan Imigresen Malaysia terdedah dieksploitasi pihak anasir luar.

Projek yang bernilai RM1.123 bilion itu turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kontrak tersebut dianugerahkan kepada Datuk Adlan Berhan iaitu menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meraih tawaran secara rundingan terus pada 2021.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, beliau sudah pun mendengar taklimat daripada pegawai kementeriannya pada dua hari lalu berhubung isu pelupusan saham IRIS termasuk sama ada amalan IRIS bercanggah dengan urus tadbir korporat.

Justeru, beliau tidak mahu memberikan sebarang ulasan awal kerana isu pelupusan ekuiti oleh syarikat induk kepada pihak ketiga melibatkan pelbagai sudut dan kepentingan lain.

Ini ujarnya termasuk bagi melihat kemungkinan usaha penjualan saham yang amat besar itu akan memberi kesan kepada NIISe kerana ia menyimpan banyak data peribadi rakyat.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution tidak menolak kemungkinan isu tersebut akan dibawa kepada pihak SPRM untuk menilai sama ada berlaku unsur penyelewengan korporat.

Walau bagaimanapun setakat ini jelasnya, beliau belum lagi mahu memikirkan langkah berkenaan dan akan meminta pandangan jemaah Kabinet terlebih dahulu untuk susulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya