Hospital Putrajaya terima teguran, jawab tuduhan sesak

Hospital Putrajaya terima teguran, jawab tuduhan sesak

HOSPITAL PUTRAJAYA

PUTRAJAYA: Hospital Putrajaya (HPj) mengesahkan seramai 95 pesakit direkodkan hadir mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma pada malam semalam bagi tempoh pukul 11.00 malam sehingga 1.00 pagi di Zon Hijau.

HPj menerusi kenyataan berkata, pada syif malam itu, jumlah pegawai perubatan bertugas ialah seramai 13 orang dan mereka ditempatkan di setiap zon yang bertugas di bilik rawatan.

“Petugas lain termasuk jururawat juga bertugas pada kapasiti maksima iaitu bagi menangani kedatangan pesakit yang tinggi.

“Petugas-petugas berusaha memberikan perkhidmatan terbaik bagi pesakit-pesakit yang datang ke Jabatan Kecemasan.

“Doktor dan kakitangan juga dilaporkan bergilir-gilir memanggil pesakit bagi mengelakkan pesakit menunggu lama dan memudahkan doktor mendapatkan maklumat terus daripada pesakit,” katanya.

Pendedahan itu dibuat HPj susulan ciapan di Twitter yang tular di media sosial yang mendakwa berlaku kesesakan di unit berkenaan malam semalam.

Pada masa sama, HPj berkata, pihaknya berterima kasih dan berlapang dada serta menerima pandangan yang dikemukakan pemilik twitter berkenaan.

Mengulas mengenai isu kerusi roda rosak dan tidak mencukupi pula, HPj menjelaskan, sebanyak 15 buah kerusi roda disediakan, malah pesakit atau waris boleh memohon kerusi roda kepada petugas kaunter.

Berhubung isu kekurangan katil dan ruang menunggu terhad pula, HPj berkata, buat masa ini, orang ramai tidak digalakkan oleh pihak Jabatan Kecemasan duduk di kawasan tidak sesuai atas faktor keselamatan sebaliknya boleh menunggu di ruang menunggu berhampiran kaunter farmasi.

Menjawab dakwaan kononnya isu kemudahan bilik air yang tidak kondusif, HPj menjelaskan, tindakan tambah baik dan pembersihan secara berkala akan dilaksanakan bagi memastikan tandas bersih dan selamat. РUTUSAN 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN