Hari Moyang Laut simbol martabat dan jati diri kaum Mah Meri

Hari Moyang Laut simbol martabat dan jati diri kaum Mah Meri

mah meri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suku kaum Mah Meri yang dikenali dengan seni kraf ukiran topeng telah menetap di Pulau Carey, Negeri Selangor semenjak 300 tahun yang lalu dan kini terdiri daripada lima buah perkampungan.

Seni ukiran Topeng oleh suku kaum Mah Meri diibaratkan umpama nyawa mereka yang digunakan dalam pelbagai istiadat termasuklah penyembahan, merawat pesakit dan menolak bala.

Keunikan hasil seni ukir kaum Mah Meri yang berbentuk seperti dewa, manusia, tumbuh-tumbuhan serta haiwan telah mendapat pengiktirafan United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) dan hasil seni yang dibeli dari kawasan ini memegang sijil ketulenan UNESCO yang tersendiri.

Selain hasil seni ketara (tangible arts) yang dihasilkan oleh suku kaum Mah Meri, tradisi dan warisan yang dikira sebagai sebuah seni tidak ketara (intangible arts) yang sangat bernilai ini, memainkan peranan yang amat penting bagi industri pelancongan di negeri Selangor.

Perayaan Hari Moyang laut disambut oleh suku kaum Mah Meri setiap tahun selepas tahun baru Cina yang diadakan bertujuan bagi memohon perlindungan, pengampunan dan kesejahteraan kepada keluarga dan penduduk-penduduk di sekitar dengan memberi penghormatan kepada leluhur dan roh nenek moyang ketika tahun baru.

Perayaan yang berlangsung selama lima hari ini melibatkan beberapa upacara seperti;

  1. Hari Pertama: Upacara perayaan Datuk Panglima Hitam
  2. Hari Kedua: Persiapan menghias Balai Moyang dengan seni anyaman
  3. Hari Ketiga: Upacara memanggil moyang dan tepung tawar \
  4. Hari Keempat: Perarakan ke Sungai Teluk Tanjung bagi upacara Hari Jadi Moyang Laut dan menjamu makanan di Sangga untuk arwah roh Moyang di setiap rumah di Kampung Sungai Judah serta memohon restu di laut dan sungai di sekitar Pulau Carey
  5. Hari Kelima: Perarakan ke Pantai Bangkong bagi merayakan sambutan Perayaan Hari Moyang Laut dan persembahan tarian Jo’oh kepada para pengunjung

Tourism Selangor berpeluang menyertai sebuah dokumentari Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut oleh para pelajar dari Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan  Kebangsaan (ASWARA) dan menyelami keunikan budaya Kaum Mah Meri yang menjadi antara tarikan pelancongan negeri ini.

Sekumpulan pelajar tahun tiga ijazah Sarjana muda Fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mengambil peluang merakamkan sebuah dokumentari bertajuk Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut selama lima hari, disokong oleh beberapa rakan kerjasama seperti Tourism Selangor, Kakiseni, Arkib Negara, Jabatan Warisan Negara serta Jabatan Muzium Malaysia.

Dokumentari Eksplorasi Budaya Perayaan Hari Moyang Laut ini telah ditayangkan di Pawagam Jalan Ampas, LokaKarya, ASWARA dengan persembahan khas dari komuniti suku kaum Mah Meri.

Dekan fakulti Pengurusan Seni Budaya dan Warisan, Dr. Zulkifli Ab Rashid, dalam satu kenyataan berkata, keunikan yang ada pada perayaan yang dirayakan oleh suku kaum Mah Meri ini perlulah dititikberatkan oleh semua pihak supaya ianya kekal terjaga dan menjadi sebuah khazanah yang berharga buat negara ini.

Dengan penglibatan pemain seni tempatan, Tourism Selangor yakin bahawa negeri Selangor mampu mencapai visi dalam menjadikan negeri Selangor sebagai sebuah hab industri kreatif. Tourism Selangor menggalakkan orang awam terutamanya para  pelancong serta pusat pendidikan untuk menyertai acara-acara seperti Perayaan Hari Moyang Laut bagi mempelajari lebih lanjut tentang budaya dan warisan tempatan.

Para pengunjung boleh berhubung terus dengan Mah Meri Cultural Village di https://www.mmcv.org.my/ bagi mendapatkan informasi lanjut tentang lawatan ke perkampungan suku kaum Mah Meri di Pulau Carey. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya